KUALA LUMPUR 1 Okt. - Bekas teman wanita kepada lelaki Bosnia yang mendakwa spermanya dipergunakan untuk mendapatkan anak genetik Eropah berkualiti tinggi, menuduh lelaki itu seorang yang ganas, sering menderanya dan mengugut untuk menyiarkan gambar-gambar intimnya.
Wanita berusia 29 tahun itu juga mendakwa, Ervin Ahbabovic, 41, sering mengugut untuk membunuhnya dan ahli keluarganya jika tidak mematuhi kehendak lelaki tersebut yang merupakan kaki botol dan suka berfoya-foya di kelab malam.
Wanita itu yang dinamakan sebagai defendan dalam saman oleh Ahbabovic terhadapnya menyatakan demikian dalam pernyataan pembelaan dan tuntutan balasnya yang difailkan menerusi firma guaman Tetuan K.F.Ee & Co. di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.
Ahbabovic juga, dakwa defendan, pernah didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada 2008 bagi kesalahan trafik kerana memandu dalam keadaan mabuk dan dia yang membantu teman lelakinya itu menjelaskan denda tersebut.
Wanita itu mengaku berkenalan dengan Ahbabovic selaku pihak plaintif pada 2008 dan hasil hubungan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki yang lahir pada 7 Februari 2010.
Berhubung dakwaan bahawa dia berkehendakkan hubungan seksual enam kali sehari dengan setiap sesi berdurasi satu jam, menurut wanita terbabit, itu adalah fitnah dan mustahil untuk berlaku memandangkan dia hanya wanita biasa, mempunyai perniagaan dan seorang anak untuk dijaga.
Dia turut menafikan dakwaan Ahbabovic yang menyatakan dia memukul dan menikam tangan lelaki itu dalam satu pergaduhan, sebaliknya mendakwa, sebenarnya plaintif yang memukul, menjerit, mencaci dan memarahinya selain mengugut untuk mencederakan anak lelaki mereka.
Dakwa defendan, dia hanya bertindak mempertahankan diri ketika itu.
Menurutnya, plaintif yang menikam tangannya sendiri sebelum mengugut untuk membunuh diri pada 31 Mac lalu sekiranya defendan meninggalkannya.
Wanita itu turut menyatakan, plaintif beberapa kali mengekorinya dan ahli keluarganya selain mengugut untuk menghancurkan kereta dan perniagaan defendan.
Menurut wanita itu, dakwaan lelaki itu berhubung penggunaan spermanya untuk mendapatkan genetik berkualiti dari Eropah, adalah tidak bermoral, tiada peruntukan undang-undang dan di luar bidang kuasa mahkamah dan dia memohon tuntutan plaintif ditolak dengan kos.
Dalam tuntutan balasnya, wanita itu menuntut ganti rugi kewangan RM200,000 akibat kehilangan keuntungan perniagaan, ganti rugi kerugian pelaburan dan perbelanjaan defendan RM120,000, ganti rugi am untuk fitnah dan ganti rugi teladan.
Dia juga menuntut RM40,000 wang sewa perniagaan dan bil utiliti, RM33,000 yang dipinjamkan kepada defendan, kos pembaikan kereta jenis Savvy milik defendan yang dirosakkan oleh plaintif berjumlah RM2,000 selain RM16,000 bagi kos guaman, ikat jamin dan denda di Mahkamah Majistret serta ganti rugi lain yang ditaksirkan mahkamah.
Yang turut dituntut ialah perintah injunksi serta-merta bagi menghalang plaintif atau pihak berkaitan daripada membawa, memaparkan maklumat mengenai defendan secara langsung atau tidak kepada semua media dan plaintif dikehendaki membatalkan maklumat defendan di semua media dalam tempoh 48 jam dari tarikh perintah.
Hakim Rohani Ismail yang mendengar kes tersebut di kamar hakim hari ini memerintahkan kedua-dua pihak berunding melalui mediasi bagi menyelesaikan kes itu dan menetapkan pengurusan kes pada 30 Oktober ini bagi mengetahui keputusan perbincangan tersebut.
Plaintif diwakili peguam Mohamad Fauzi Abdul Samad manakala defendan diwakili peguam James Eee Koh Fuk.
Koh Fuk ketika ditemui pihak media menyatakan, pihaknya akan memfailkan permohonan mengetepikan tuntutan plaintif di Mahkamah Tinggi minggu ini. ------>
Sumber Dari