Friday, June 7, 2013

Bayi disuntik 90 kali sebulan

Bandar Tun Abdul Razak: Usianya baru empat bulan tetapi Mohd Asyraf Zaili terpaksa disuntik dengan ubat tiga kali sehari, sekali gus bermakna bayi malang itu perlu mengharungi kesakitan akibat tusukan jarum itu sebanyak 90 kali sebulan.
Mohd Asyraf yang disahkan menghidap penyakit hipoglikemia sejak tiga bulan lalu itu pasti meraung setiap kali jarum yang disuntik ibunya, Rasidah Ardani, 41, menembusi kulit halusnya dan setiap kali itulah, wanita berkenaan turut mengalirkan air mata seiring tangisan anak bongsu daripada enam beradik itu.
Hipoglikemia atau turut dikenali sebagai penyakit kadar gula darah rendah berpunca daripada kegagalan pankreas untuk mengawal kuantiti pengeluaran insulin dalam badan dan Mohd Asyraf kini bergantung kepada lapan jenis ubat berlainan termasuk madu dan susu khas yang perlu diberikan kepadanya setiap tiga jam sekali.


“Hati ibu mana yang tidak sedih apabila terpaksa melihat anak sekecil itu disuntik ubat tiga kali sehari semata-mata bagi menstabilkan gula dalam darahnya.
“Setiap kali dia menangis ketika disuntik, saya sendiri turut menitiskan air mata tetapi saya perlu tabah mengharunginya dan sering berbisik pada diri sendiri bahawa apa yang saya lakukan ini untuk kebaikan serta kesihatannya juga,” kata Rasidah. -Hmetro

0 comments:

Post a Comment