Monday, July 29, 2013

Farid Kamil Letak Syarat Jika Ibu Mertua Mahu Jumpa Cucu

Farid Kamil.
KUALA LUMPUR: "Kalau ingin jumpa cucu, dia perlu jumpa saya terlebih dahulu" kata pelakon dan pengarah Farid Kamil ketika mengulas tentang hubungannya dengan ibu mertua, Norsiah Ramli.
Farid, 32, berkata beberapa perkara perlu diselesaikan antara dia dan ibu mertuanya sebelum membenarkan wanita itu bertemu dengan cucu dan anaknya, Diana Danielle.
"Saya risau perkara tidak diingini berlaku, saya tidak berdendam tetapi sekadar melindungi isteri dan anak saya. Saya dapat merasakan ibu mertua saya akan melakukan sesuatu yang tidak diingini kepada mereka.
"Sebelum ini juga banyak cerita negatif tentang kami yang keluar daripada mulut ibu mertua yang menyebabkan saya lebih berhati-hati," katanya.
Farid ditemui pada majlis sidang media drama Jodoh Itu Milik Kita di sini, pada Isnin.
Tambahnya lagi, Diana turut berasa kecewa dengan sikap ibunya yang tidak merestui perkahwinan tersebut.
"Sepanjang Diana berada di Australia saya tidak pernah dengar tentang ibunya telefon atau menghubungi untuk bertanya khabar.
"Apa yang saya lihat Diana sendiri berasa sangat kecewa dengan sikap ibunya yang tidak suka kami berkahwin," ujarnya.
Gambar fail Norsiah (kiri) bersama Farid dan Diana pada majlis pernikahan pasangan itu pada tahun lalu.
Sebelum ini Farid pernah menyatakan perasaan marah dan kecewa terhadap ibu mertuanya melalui laman sosial twitter peribadinya.
Farid Kamil dan Diana Danielle selamat diijab kabul pada 3 November 2012 di Hotel Flamingo, Ampang.
Dalam pada itu, bercerita tentang kelahiran anak sulungnya pada 2 Julai lalu, Farid berkata dia tidak dapat mengambarkan perasaannya bergelar bapa.
"Saya sukar untuk mengambarkan perasaan saya yang gembira, banga, sedih yang bercampur baur ketika melihat bayi lelaki itu.
"Buat masa ini kami belum memberi nama dan belum pun mendaftarkan kelahiran bayi ini lagi kerana tidak digalakkan untuk membuat proses tersebut di sana," katanya.
Farid berkata, proses tersebut akan dilakukan di Malaysia selepas mereka pulang bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri ini.
Sementara itu, Farid berkata isterinya berada dalam keadaan sihat selepas bersalin dan masih berada dalam pantang.
"Diana sihat cuma selepas bersalin dia lebih emosi dan bersikap "mother blues" iaitu terlalu melindungi anaknya.
"Saya sendiri tidak dibenarkan memegambil bayi itu terlalu lama dan sentiasa takut orang ambik anaknya," katanya.
-mStar

Lelaki parah ditembak di Bukit Mertajam

NIBONG TEBAL - Seorang lelaki cedera parah di paha kanan selepas ditembak ketika berhenti di lampu isyarat simpang empat Jalan Mengkuang, Bukit Mertajam di sini hari ini.
   
Lelaki berusia 30-an berasal dari Kulim itu kini dirawat di Hospital Kulim, Kedah.
   
"Siasatan awal mendapati lelaki itu mempunyai beberapa rekod jenayah," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah di sini hari ini.
   
Beliau berkata ketika kejadian pada pukul 8.30 malam itu, lelaki berkenaan bersama rakannya dipercayai dari Jalan Mengkuang menghala ke Lebuhraya Butterworth Kulim (BKE) untuk ke Kulim.
   
"Ketika kereta mereka berhenti di lampu isyarat simpang empat di situ, sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki menghampiri kenderaan yang dinaiki mereka dan seorang daripada lelaki itu melepaskan tembakan," katanya.
   
Mazlan ditemui selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), di sini.
   
Mazlan berkata siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengetahui motif kejadian. 

-Sinar harian

Tiga lelaki ditahan bersama sepucuk pistol, lima butir peluru hidup

KUANTAN - Tiga lelaki ditahan bersama sepucuk pistol jenis Smith & Wesson .38 dan lima butir peluru hidup dalam satu serbuan di sebuah restoran di Pusat Gerai Makanan Cang Shen Kok, Pekan Sri Jaya dekat Maran Sabtu lalu.
Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab. Ghani berkata, ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 36 hingga 51 tahun itu diberkas oleh sepasukan anggota polis diketuai Inspektor Arman Ibrahim.
“Turut ditemui wang tunai berjumlah RM2,000 di dalam kereta jenis Honda Civic berwarna kelabu milik suspek,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
-Kosmo

Sunday, July 28, 2013

Dugaan penuh kenikmatan



TANGGAL 13 Disember 2012 pasti tidak akan dilupakan oleh penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin kerana pada tarikh itu suaminya, Datuk Khalid Mohd. Jiwa terlibat dalam kemalangan motosikal berkuasa tinggi di New Zealand.
Kini selepas tujuh bulan kemalangan berlaku, Siti mampu tersenyum melihat kesihatan suaminya yang semakin pulih dan bersyukur dengan dugaan yang diberi Allah kepadanya sekeluarga.
“Sepanjang kami berkahwin, kehidupan sentiasa gembira dan tahun lalu kami diberi dugaan oleh Allah dengan kamala- ngan Datuk K. Memang tidak sangka perkara sebegitu akan berlaku.
“Kini selepas tujuh bulan, saya rasa sungguh cepat masa berlalu. Empat bulan pertama selepas kemalangan saya memberi perhatian dengan menjaga suami sahaja.
“Sedihlah tetapi bila saya kenang semula saat saya menjaganya, bagi saya itu satu nikmat kerana saya dapat berbakti pada suami. Bila suami sihat saya pula rasa pelik.
“Sebelum ini saya lakukan semua untuknya seperti suapkan makan, mencukur janggut dan memandikannya kerana selepas pembedahan, Datuk K hanya mampu terbaring sahaja,” kata Siti.
Bercerita tentang Ramadan kali ini, saban tahun Siti pasti menjalani ibadah puasa di Mekah.
Namun tahun ini, Siti hanya menyambut Ramadan di tanah air sahaja disebabkan faktor kesihatan suaminya.
“Terkilan juga kerana setiap tahun saya dan suami pasti akan menunaikan umrah dan merasai nikmat puasa di Mekah. Tahun ini berbeza kerana kesihatan suami tidak mengizinkan.
“Sungguhpun begitu, saya tetap rasa seronok sebab dapat menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga,” katanya yang akan beraya di Kuala Lumpur, Kedah dan Pahang.
Siti juga sempat menceritakan pengalaman kali pertamanya ke bazar Ramadan bersama anak-anak tirinya.
“Memang sudah lama sangat tidak ke bazar Ramadan dan tahun ini, kali pertama kami bersama-sama ke situ. Cukup seronok sebab berpeluang berkumpul bersama semua keluarga dan membeli makanan di bazar.
“Selama ini kami hanya akan berbuka di rumah atau saya akan sibuk menghadiri majlis berbuka puasa, langsung tidak berkesempatan ke bazar Ramadan.
“Sekali-sekala dapat peluang seperti itu, bagi saya itu satu pengalaman yang bermakna,” ujarnya.
Nikmat hidup semula
- Datuk K
Selepas mempunyai pengalaman hampir dengan maut dan kini semakin sihat, Datuk K memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana membenarkan dirinya kekal bernafas di muka bumi ini.
Ceritanya yang ditemui dikediamannya baru-baru ini, ketika terbaring di katil hospital, pelbagai perkara berlegar dalam mindanya seperti kematian, lumpuh mahupun kecacatan kekal.
“Waktu saya tidak berdaya, saya terfikir adakah saya akan mati? Ketika itu saya banyak berdoa kepada Allah supaya panjangkan nyawa saya kerana saya belum bersedia untuk mengadap-Nya, amalan juga belum cukup.
“Saya katakan, kiralah segala amalan kebaikan yang pernah dilakukan dan panjangkan umur saya. Apa yang membuatkan saya kuat pada waktu itu, saya fikir tiga orang anak saya dan Siti yang memerlukan saya,” ucapnya.
Sambung Datuk K, melihat keadaannya yang semakin pulih dan mampu menjalani tugas harian seperti biasa, membuatkannya lebih menghargai kehidupannya hari ini.
“Ramai rakan saya yang mengalami kecederaan seperti saya, mereka akan meninggal dunia atau lumpuh. Saya bersyukur kerana masih berpeluang menjalani ibadah puasa bersama keluarga. Sebelum ini saya tidak sedar betapa cepat masa berlalu dan betapa cepat nyawa kita boleh diambil
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan ujian Allah kepada saya. Kemalangan itu juga menyedarkan saya betapa saya mempunyai seorang isteri yang cukup baik, dia tinggalkan kerjanya demi menjaga saya sahaja,” ujarnya jujur.
Beritahu Datuk K lagi, dia cukup terharu dengan cara Siti menjaganya sepanjang ter- lantar di atas katil tanpa mampu melakukan sebarang kerja termasuk menguruskan dirinya sendiri.
“Sebenarnya saya tersentuh dengan cara Siti menjaga saya sepanjang saya terbaring di atas katil. Dia menjaga saya dengan penuh kasih sayang sedangkan waktu itu saya seperti orang kurang upaya.
“Dalam kehidupan ini, susah untuk saya berjumpa dengan orang yang baik seperti- nya. Sebagai suami, saya doakan syurga yang teratas buat Siti,” balas Datuk K.
Cuti bersama Siti
Datuk K yang masih menjalani rawatan fisioterapi setiap hari dan bersenam di gim lima hari seminggu mengatakan, doktor memberi masa selama tiga bulan untuk dia pulih sepenuhnya.
“Walaupun saya diberi ubat tetapi kata Tun Mahathir yang datang melawat saya di hospital, terapi dan senaman lagi penting. Ubat hanya membantu kesihatan kita hanya 30 peratus sahaja.
“Sebab itu saya merawat diri sendiri de- ngan bersenam untuk membina semula otot selain berurut secara tradisional. Sekarang mungkin orang lihat saya sihat tetapi tangan kanan saya masih bengkak dan leher saya masih belum pulih sepenuhnya,” turut Datuk K.
Bercerita tentang sambutan Aidilfitri kali ini, katanya, selain beraya di rumah keluarga, dia merancang untuk memberi keju- tan buat isteri tercinta.
Menurutnya, Aidilfitri yang tiba jatuh dalam bulan ulang tahun perkahwinan yang ketujuh bersama Siti.
“Kebetulan bulan raya tahun ini bersaaman dengan dengan ulang tahun perkahwinan kami iaitu 21 Ogos. Saya ingin membawanya pergi bercuti dan berehat kerana saya lihat dia pun penat bekerja.
“Mungkin selepas sambutan raya baru kami pergi bercuti. Lokasinya masih belum tahu, jika saya beritahu bukan kejutanlah namanya tetapi Siti ada menyebut dua tiga tempat yang dia ingin pergi, saya lihat dahulu mana yang sesuai,” katanya tentang kejutan ulang tahun perkahwinan buat Siti.
-Kosmo

Aeril Zafril Main Tarik Tali bercinta Dengan Wawa Zainal?

Jika sebelum ini Aeril Zafril pernah dikaitkan bercinta dengan Ummi Nazeera namun masing-masing memberitahu bahawa tiada apa yang berlaku, kini Aeril Zafril dikaitkan pula dengan artis yang semakin meningkat naik, Wawa Zainal.
Gosip tersebut dengarnya bermula selepas masing-masing digandingkan di dalam filem terbitan MIG berjudul “7 Petala Cinta” tahun lalu, namun tiada pengesahan dari mereka berdua & masing-masing dengarnya pandai menyimpan rahsia sehingga tiada siapa dapat menghidu bahawa mereka kini benar-benar bercinta.
Apa yang menguatkan cerita tersebut adalah Wawa Zainal sanggup meninggalkan keretanya kepada Aeril ketika pulang ke kampung di Lahad Datu, Sabah dan Aeril Zafril pula bersedia membayar ganti rugi di atas kehilangan kereta yang dijaganya itu.
Menurut laporan Berita Harian, Wawa Zainal yang sudah berada di Sabah hampir sebulan kerana menjalani rawatan tradisional dan tidak menjawab panggilan telefon dan juga sms.
Padankan mereka berdua?
-Rotikaya

Liyana Jasmay Dedah Sikap Cemburu Suami

Liyana Jasmay
PETALING JAYA: Pelakon Liyana Jasmay menjelaskan suaminya, Fathuddin Mazlan masih mempunyai sifat cemburu yang menebal jika melihat dia berlakon dalam adegan-adegan cinta walaupun sudah hampir enam bulan mereka mendirikan rumah tangga.
Liyana, 25, berkata, Fathuddin, 29, juga mengambil pendekatan untuk tidak menonton adegan-adegan romantik lakonannya semata-mata mahu menepis perasaan itu.
“Sudah hampir enam bulan kami kahwin, suami saya masih tidak dapat menerima sepenuhnya perjalanan dunia seni saya malah dia sering kali meluahkan perasaan cemburunya jika melihat saya melakonkan adegan romantik.
“Tetapi saya faham, perasan itu wujud kerana dia mahu menjaga isterinya dan saya harus menjaga hatinya pula,” kata Liyana kepada mStar Online.
Pasangan itu selamat diijabkabulkan pada 2 Februari 2013 dalam satu majlis akad nikah yang diadakan di Hotel Seri Pasific, dekat sini.
Gambar fail majlis pernikahan Liyana dengan suaminya.
Jelas Liyana lagi, suaminya juga memberi syarat agar dia tidak melakonkan adegan keterlaluan selain perlu membatasi babak-babak bersentuhan dengan pelakon lelaki lain.
“Setakat ini jika ada mana-mana tawaran yang memerlukan saya bersentuhan dengan mana-mana lelaki, saya akan maklumkan kepada suami terlebih dahulu dan dia meminta saya agar tidak keterlaluan melakonkan adegan berkenaan,” katanya.
Menurut Liyana, dia menggemari sikap cemburu itu kerana ia adalah petanda betapa si suami benar-benar mengambil berat dan sayangkan seseorang isteri.
Katanya, adalah satu masalah besar kalau seseorang suami tidak ada perasaan itu apatah lagi bagi seseorang pelakon yang perlu melakonkan watak-watak romantik, bersentuhan dan juga sesetengahnya di ranjang.
Bagaimanapun Liyana telah membuat keputusan untuk tidak menerima watak-watak romantik yang memerlukan dia berpelukan selepas berumah tangga.
-mStar

Adakah ini tandanya kita tidak sayang akan anak?

Cuba bayangkan... 
Kita ada anak kecil - umur 3 tahun.
Satu hari, kita tengah masak di dapur.
Si anak ternampak pisau. Merengek-rengek dia menangis, nakkan pisau utk dijadi mainan.
Agak-agak kita bagi!? Tentu lah tidak, kan.
Adakah ini tandanya kita tidak sayang akan anak?
Bahkan, kerana sayanglah kita enggan berikan.
Walaupun pada mata anak pisau itu 'menyeronokkan', tapi kita lebih tahu... pisau itu berbahaya untuk anak kita.
Kita lebih tahu...
Anak tidak tahu...

Begitu juga kita dengan Allah.
Kita 'merengek' hendakkan sesuatu tetapi Allah tidak izinkan.
Adakah Allah tidak sayang akan kita?
Bahkan, kerana sayanglah kemahuan kita tidak dituruti. Malah diganti pula dengan yang lebih baik, kerana perkara yang kita mahukan itu mungkin kelihatan baik pada pandangan kita... Tapi tidak baik pada pengetahuan Allah.
Allah lebih tahu...
Kita tidak tahu...

Marilah bertasbih, bertahmid dan bertakbir mengagungkan Allah swt. Nikmati & syukuri apa-apa saja yg dikurniakan, nescaya Allah swt akan mencukupkan keperluan kita...
SEBARKAN tulisan ini agar damai hati-hati yang meruntun, keluh-kesah & kecewa mempersoalkan bila, kenapa & mengapa belum memperoleh perkara yang dihajati & diimpikan...

Lelaki tinggalkan anak perempuan bersendirian dalam kereta kerana dadah

MELAKA - Seorang lelaki sanggup meninggalkan anak perempuannya yang berusia empat tahun bersendirian di dalam kereta di tepi jalan semata-mata untuk membeli dadah di satu kawasan berhampiran Penjara Sungai Udang di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner (ACP) Salehhudin Abd. Rahman berkata, polis yang membuat serbuan Ops Tapis di sebuah ladang kelapa sawit kemudian berjaya menahan lelaki berusia awal 30-an itu. "Semasa dicekup, lelaki itu memberitahu kepada pihak polis bahawa anaknya ada di dalam Perodua Alza.
"Kanak-kanak perempuan itu kemudian dibawa ke Balai Polis Sungai Udang sebelum diserahkan kepada ibunya," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Salehhudin berkata, dalam operasi pada 6 pagi dan berakhir 6 petang semalam di kawasan ladang itu, polis turut menahan 33 lagi lelaki berusia antara 26 hingga 62 tahun mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.
Katanya hasil pemeriksaan, seorang daripada mereka berusia 20-an didapati memiliki empat tiub dadah dipercayai heroin dan disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah.
-Kosmo

Kadang-kadang kita terlupa.. Betapa pentingnya kita buat mereka (Ibu)

Ibu tua: Hello.. Ni samad ke?
Samad: Ya mak, ni samad. Kenapa call samad? Samad tengah kerja ni.
Ibu tua: Mak saja telefon.
Samad: Oh.. Ingatkan ada apa tadi. Samad ada kerja sikit ni mak. Nanti samad call balik.

Keesokan Hari

Ibu tua: Hello.. Ni samad ke?
Samad: Ye mak, ni samad. Ada apa mak call malam-malam ni?
Ibu tua: Mak saja telefon. Ko kat mana?
Samad: Samad sekarang kat luar ni. Jumpa client dengan kawan-kawan. Nanti samad dah balik rumah, samad call mak balik ye.

Keesokan Hari

Ibu tua: Hello.. Ni samad ke?
Samad: Ye mak, ni samad. Sorry mak, semalam balik lambat. Balik terus tertidur. Kenapa mak?
Ibu tua: Mak nak tanya sikit.
Samad: Tanya apa tu?
Ibu tua: Berapa gaji ko sehari nak?
Samad: Emm.. Boleh la mak. Dalam RM100 sehari. Tu pun tak berapa nak cukup kalau duduk kat bandar ni.
Ibu tua: Kalau macam tu, mak ada duit sikit nak kasi ko. Buat belanja ko kat sana.
Samad: La ye ke? Susah-susah je mak. Mak simpan duit tu untuk belanja rumah dah la. Kat sini tau la samad cari duit.
Ibu tua: Kau balik la rumah sehari dua nak. Nanti mak bayar gaji RM200. Mak rindu kat kau nak.

Kadang-kadang kita terlupa..
Betapa pentingnya kita buat mereka..

Rapat tak bermakna bercinta

Bukan mudah berkongsi kasih. Tersilap gaya, ada hati yang terluka. Dek kerana itu, Fazura selesa memilih jejaka bujang sebagai khalifahnya. Bukan mendahului takdir, tapi katanya, sebagai insan yang tidak mampu berbagi kasih, wajar dielak supaya tidak menderita kemudian hari.
Membicarakan perihal itu, Fazura rasional menegaskan, dia cuba mengelak, namun andai tertulis takdirnya hidup bermadu, tiada apa yang mampu dikatakan selain reda kerana sesung­guhnya jodoh itu rahsia Yang Maha Berkuasa.
“Bermadu? Saya tidak rela. Biarlah bakal suami saya bujang tetapi jika keadaan memaksa, itu di luar kemampuan saya. Setiap yang berlaku pasti ada sebab­nya dan Allah SWT tahu apa yang terbaik buat hamba-Nya,” kata Faz. 

Berdasarkan jawapan itu, adakah bermakna ada insan istimewa di hatinya dan adakah ia aktor Shaheizy Sam seperti yang kerap diperkatakan kebelaka­ngan ini?
Foto

Tatkala soalan itu diajukan, bintang jelita yang juga ikon fe­syen ini ketawa seraya menegaskan, hubungannya dengan Sam sekadar sahabat karib, tidak lebih daripada itu.
-Hmetro

Saturday, July 27, 2013

MESTI BACA KEPADA PEMINAT2 SAYUR !



Suatu hari, di klinik yg terkenal di Malaysia, semua doktor kebingungan kerana ada seorang anak kecil yang menderita sakit perut. Anak itu dbawa ke klinik oleh ibu bapanya setelah 2 hari mnderita sakit perut..Sudah bermacam ubat sakit perut yg dberikan kepada anak itu, namun demam tak smebuh.

Lepastu, ibu bapa anak tersebut di tanya oleh Doktor "makanan apa yg budak tu makan oleh anak tersebut selama 2 hari ini? " Ibu bapa budak anak itu kebingungan, kerana sejak anaknya demam, anak tersebut tak nak makan, dia hanya minum susu putih, itu pun muntah.

Setelah diperiksa, ternyata sebelum menderita cirit birit, malam tersebut anak itu makan Kangkung Tumis di restoran brsama ibu bapanya. Doktor segera melakukan X-RAY, ternyata dlm usus anak tu telah berkembang biak lintah dgn anaknya yg kecil2.

Doktor menyerah dan menyatakan tidak sanggup mengambil tindakan pembedahan apapun. Akhirnya anak kecil malang itu pun meninggal dunia.

Setelah diperiksa berulang kali, ternyata lintah itu sebelumnya berada didalam batang kangkung yg besar. Memang, utk penggemar kangkung tumis yg paling enak ialah batangnya.

Lintah yg brada di dalam batang kangkung itu tidk akan mati walau dimasak selama 20 minit, apalagi untuk kangkung tumis proses memasak tidak terlalu lama agar menghasilkan rasa kangkung yg sedap. Lintah hanya akan mati jika di bakar.

Didlm usus budak kecil tadi, lintah hanya perlu masa 1 - 2 hari untuk berkembang biak. Jika ada kluarga/rakan2 yg mengalami hal tersebut , lakukan tindakan dengan memberi minum air rendaman tembakau(bisa diambil dari rokok kretek) biasanya lintah akan kluar dan dlm keadaan mati.

Sebarkan kepada rakan, sahabat, keluarga, atau siapapun yg anda kenal menekan SHARE..
SHARE kepada semua , biar semua tahu ..

INFO @ Malaysia

Friday, July 26, 2013

2 pengemis raih RM9,000 sebulan

SEREMBAN - Dengan hanya bermodal wajah sedih sambil menghulurkan tisu di persimpangan lampu isyarat, dua pengemis warga Pakistan mampu meraih pendapatan mencecah RM9,000 sebulan.

Kegiatan kedua-dua wanita berusia 50-an itu dikatakan sudah berlarutan beberapa bulan lalu dengan menjadikan persimpangan lampu isyarat di Jalan Sungai Ujong berhampiran Taman AST di sini sebagai lubuk rezeki.

Bagaimanapun, kehadiran mereka yang gemar mengetuk pintu cermin kenderaan bagi mendapat simpati berakhir dengan kedua-duanya ditangkap pada pukul 12 tengah hari di persimpangan lampu isyarat itu kelmarin.

Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman berkata, pemeriksaan terhadap kedua-dua wanita itu mendapati mereka sudahpun memiliki tiket penerbangan untuk balik ke negara asal dipercayai hasil kegiatan meminta sedekah sambil menjual tisu.

Bahana cemburu, tikam isteri sampai mati

BATU GAJAH – Kerana dikuasai perasaan cemburu, seorang suami hilang pertimbangan sehingga sanggup menikam isterinya dengan sebilah pisau pemotong sayur selepas pertengkaran yang berlaku di tingkat 1 sebuah rumah kedai, di Jalan Pasar di sini, malam kelmarin.

Mangsa, Than Dar, 25 merupakan pelarian warga Indonesia di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR), dijumpai pada kira-kira jam 11.20 malam di biliknya, dalam keadaan terbaring berlumuran darah dengan satu kesan tikaman.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abd Latif memaklumkan, hasil bedah siasat mendapati mangsa ditikam dari bahagian belakang badan sehingga menembusi paru-paru kanan yang menjadi punca kematian.

Bahana cemburu, tikam isteri sampai mati

Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan motif kejadian adalah kerana cemburu berikutan suspek yang merupakan warga Myanmar berusia 20 tahun mengesyaki mangsa mempunyai hubu- ngan sulit dengan lelaki lain.

"Pasangan itu berkahwin dua tahun lalu dan mendiami sebuah bilik di rumah berkenaan bersama adik suami serta dia rakannya yang tinggal di bilik berasingan.

"Berdasarkan maklumat yang diperoleh, berlaku pertengkaran hebat antara pasangan berkenaan dan selepas itu suspek dilihat meninggalkan mangsa dengan membawa bersama anak lelaki mereka yang berusia dua tahun," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Shaharon Anuar berkata, kecekapan polis membolehkan suspek, aduk suspek serta dua rakannya berjaya ditahan kira-kira empat jam selepas kejadian di tiga lokasi berasingan sekitar Batu Gajah.

Katanya, suspek ditahan di Happy Garden dan anaknya yang dibawa bersama akan ditempatkan di bawah pemerhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Polis berjaya selesaikan kes berkenaan dalam masa enam jam dan kesemua yang tangkap, ditahan selama tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu membunuh," katanya.

Sementara itu jiran mangsa, S Sagunalan, 42 berkata, anaknya yang berusia 16 tahun ternampak suspek melarikan diri dalam keadaan tergesa-gesa bersama anaknya.

"Boleh dikatakan pasangan itu bertengkar setiap malam. Kadang kala sampai jam 2 atau 3 pagi.

"Namun kejadian kali ini memang mengejutkan. Pasangan itu terutama mangsa yang bekerja sebagai pembantu di kedai runcit berhampiran memang baik dengan jiran-jiran," katanya.

-Sinar Harian Online

Berita semasa : Akibatnya saya yang terima padah

KUALA LUMPUR - Bukan hanya dibo-gel dan dicab-ul, malah seorang gadis berusia 18 tahun turut diugut gambar bogelnya disebarkan jika abang ipar dan kakaknya gagal menjelaskan hutang ah long.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Dila berkata, abang ipar dan kakaknya itu meminjam lebih RM3,000 daripada ah long sejak akhir tahun lalu, namun gagal membayar balik.

“Akibatnya saya yang terima padah apabila tiga lelaki dipercayai ah long mula datang  mengganggu di tempat saya bekerja,” katanya sewaktu ditemu bual di sebuah rumah perlindungan di pinggir ibu kota, semalam.

Dila berkata, gangguan daripada tiga lelaki itu berlarutan hampir setiap hari sehingga awal tahun ini.

Mangsa dibogel, dicabul ah long

Menurutnya, pada suatu hari ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, tiga lelaki berkenaan memaksanya menaiki motosikal.

“Saya dibawa ke kawasan semak, sebelum mereka mengarahkan saya menanggalkan pakaian dan mengambil gambar saya sebelum dicabul bergilir-gilir," katanya.

Dila berkata, sehingga kini dia tidak tahu di mana abang ipar dan kakaknya berada dan berharap mereka dapat melangsaikan hutang tersebut secepat mungkin.

Anak ketujuh daripada sembilan adik beradik itu memberitahu, berikutan insiden itu emosinya terganggu dan dia kini trauma dan hanya mempunyai ibunya untuk membantu.

Penderitaan Dila tidak habis di situ apabila dia turut mengakui pernah didera oleh abang sulungnya yang mengalami sakit mental sejak lima tahun lalu, memaksa dia tinggal bersama keluarga kakaknya.

“Abang sulung pernah mencab-ul salah seorang daripada kakak saya, sebelum dia dipenjara kira-kira dua tahun atas kesalahan itu,” katanya.

Menurutnya, abang sulungnya itu juga sering bertindak ganas dengan memukul, menyepak, menghentak kepalanya didinding atas alasan tidak berpuas hati dengan masakannya.

-Sinar Harian Online

Warga emas terkejut jumpa seikat wang

TEMERLOH - Seorang penoreh getah terkejut apabila menemui seikat wang kertas bernilai ribuan ringgit di tepi jalan utama ke bandar Temerloh dekat Kampung Padang Tenggala, di sini, tiga hari lalu.

Lelaki warga emas itu yang enggan dikenali berkata, dia menemui wang terbabit ketika menunggang motosikal melalui jalan berkenaan.

Menurutnya, pada awalnya, dia terpandang satu bungkusan kertas di tepi jalan, namun tidak menghiraukannya.

Warga emas terkejut jumpa seikat wang

“Ketika dalam perjalanan pulang, saya melalui jalan yang sama dan masa itu terdetik rasa hati untuk memberhentikan motosikal.

“Saya terkejut apabila melihat sejumlah besar duit bersama beberapa nota yang saya percaya ia adalah rekod urus niaga pemiliknya, saya terus mengambilnya dan berbincang dengan rakan,” katanya.

Menurutnya, dia mengambil keputusan menyimpan wang berkenaan dan menyerahkan kepada Sinar Harian untuk menghebahkan perkara itu kepada umum.

Katanya, pihak yang mahu menuntut mesti menyatakan dengan tepat jumlah wang itu sebelum berjumpanya di Kampung Bangau Parit.

Sehubungan itu, orang ramai yang kehilangan sejumlah besar wang dalam tempoh seminggu ini  supaya menghubungi Ketua Balai Polis Temerloh, Inspektor Irwan Sapawi untuk dibawa berjumpa lelaki yang menemui wang tersebut.

-Sinar Harian Online

Hans Isaac Tidak Guna Gosip Cinta Untuk Promosi Filem

Hans Isaac
PETALING JAYA: Pengarah dan pelakon Hans Isaac berharap tiada pihak yang cuba mengaitkan gosip cintanya dengan aktres Neelofa dalam filem baharu arahannya iaituLemak Kampung Pisang.
Hans atau nama sebenarnya Gerald Hans Isaac, 42, berkata, langkah menjaja cerita cinta bertujuan untuk mempromosikan sesebuah karya filem bukanlah caranya bagi meraih sokongan ramai walaupun Neelofa turut berlakon dalam filem itu.
"Memang saya mula kenal Lofa (Neelofa) sejak berlakon bersama dalam filem ini. Tetapi bukan ini (gosip cinta) cara saya promosi filem.
"Saya sedih dan terkilan sekiranya ada yang cuba mengaitkan kisah cinta kami sebagai satu taktik untuk mempromosikan Lemak kampung Santan. Itu bukan filem namanya," katanya.
Gosip hubungan Neelofa dan Hans mula diperkatakan sejak mereka bekerjasama bagi filem berkenaan dua tahun lalu. Namun sehingga kini, tiada sebarang kenyataan jelas mengenai kesahihan hubungan mereka itu.
Sementara itu, filem Lemak Kampung Santan bakal ditayangkan pada sambutan Hari Raya pertama iaitu pada 8 Ogos depan.
Ia akan bersaing dengan filem terbitan Metrowealth International Group (MIG) iaitu Adnan Sempit 3.
Bagaimanapun, Hans tidak menganggap ia sebagai satu persaingan kerana yakin setiap filem mempunyai keistimewaan dan tarikan yang tersendiri.
"Saya tidak ada masalah jika masyarakat mahu menonton filem itu kerana saya percaya mereka boleh menyaksikan satu atau dua filem dalam satu masa.
"Malah saya tidak tercabar dengan kehadiran Adnan Sempit 3 dan saya tak tengok pun filem itu sebelum ini.
"Cuma saya percaya orang boleh membeli satu atau dua tiket mahupun tiga tiket pelbagai filem dalam satu masa. Itu adalah normal. Jadi tidak perlu risau untuk itu. Setiap filem memiliki daya tarikan masing-masing," ujarnya.
Tambah Hans, kekuatan jalan cerita filem Lemak Kampung Santan juga pasti akan menarik perhatian penonton untuk menonton semula filem itu.
Dalam hal lain pula, Hans berkata, dia tidak akan mengikut jejak penerbit lain menjual filem tersebut kepada mana-mana pihak stesen televisyen selepas ia selesai ditayangkan di pawagam walaupun pihaknya perlu berdepan dengan risiko mendapat keuntungan rendah.
Lemak Kampung Santan merupakan taruhan terbaharu Hans selepas filem Cuci pada tahun 2007.
Karya terbaharu itu mengisahkan tentang seorang pemuda bandar, Ridzuan (Hans Isaac), yang jatuh cinta dengan seorang gadis kampung bernama Tiqa (Neelofa).
Ridzuan merupakan seorang pereka binaan untuk sebuah syarikat Terkemuka manakala Tiqa pula seorang penjual nasi lemak di Kampung Santan.
Pertemuan pertama mereka berlaku tanpa diduga di Kampung Santan di mana gadis itu tidak tahu Ridzuan merupakan ketua projek yang akan membina sebuah resort selain memaksa semua penduduk Kampung Santan untuk berpindah.
-mStar

Nikah Ramadan



Pasangan pilih bernikah pada bulan mulia dinasihat jangan sampai 'terlajak'

Cuit mencuit, jeling menjeling, senyum tersipu, sekali pandang tak puas. Itulah gelagat individu baru mendirikan rumah tangga. Bagaikan belangkas - tak lepas tangan asyik berpimpin, rasanya kalau boleh nak bawa ke mana saja pasangan mereka kerana enggan berenggang. 
Dalam keasyikan melayari bahtera baru dibina itu sepanjang Ramadan ini, jangan pula terleka dan terlepas pandang terhadap perkara yang boleh mengurangkan pahala berpuasa.

Pengantin baru perlu awasi tingkah laku pada siang Ramadan kerana cabaran terbatal puasa lebih tinggi." Badli Shah Alauddin, Penolong Pengarah Penyelidikan, Bahagian Agama Islam Pahang.

Ibadat puasa pada Ramadan disebut di dalam al-Quran sebagai wahana yang membina insan bertakwa kepada Allah. Hikmah dan rahsia berpuasa tidak akan diperoleh sekiranya tidak dipelihara adab puasa dengan sebaik-baiknya. 

Oleh itu, pasangan baru kahwin perlu memantapkan amalan kerohanian mereka. Suami dan isteri mestilah mengamalkan syariat Islam sama ada berbentuk fardu ain, fardu kifayah dan amalan sunat lain. Kekuatan kerohanian dalam rumah tangga adalah senjata ampuh untuk berhadapan dengan cabaran semasa.

Puasa Ramadan turut dijadikan sebagai asas pembinaan iman dalam jiwa setiap Muslim supaya dapat menjunjung perintah Allah, sekali gus meraih keampunan dan juga membebaskan diri daripada ancaman api neraka.

Persediaan berpuasa 
Penolong Pengarah Penyelidikan, Bahagian Agama Islam Pahang, Badli Shah Alauddin berkata, ibadat puasa berfungsi sebagai latihan pengendalian diri daripada terjerumus ke lembah kekejian akibat tarikan hawa nafsu bergelora. Pengendalian diri pada hakikatnya juga melambangkan keinsafan sekali gus menunjukkan ketaatan kepada Allah pada setiap detik terhadap perintah-Nya.

Badli Shah berkata, dalam menyediakan diri menempuh Ramadan penuh kebaikan ini, pasangan baru berkahwin perlu bijak mengendali diri dan perasaan serta pemikiran mereka sendiri dari terikut nafsu.

“Persediaan diri terbahagi kepada lima iaitu meliputi Persediaan Ruhiyah (Spiritual), ‘Ilmiyah-Fikriyah (Ilmu-Intelektual), Jasadiyah (Fizikal), Maaliyah (Material) dan Ijtima’iyyah (Sosial).

“Setiap persediaan berperanan tersendiri dalam memberikan pengertian Ramadan dan amalan lebih seimbang bahkan sempurna untuk pasangan. Contoh, Ruhiyah meliputi persediaan mengubah mental menjadi lebih bertanggungjawab, bersedia dan tunduk menerima segala ketentuan Allah, berkongsi dan melunturkan ego di dada. Ia juga bertujuan mendidik kita agar bersabar dan bersyukur,” jelasnya.

Lakukan pada malam hari

Badli Shah menegaskan , pengantin yang baru mengecapi hidup sebagai suami isteri perlu awasi perilaku khususnya ketika pada siang hari Ramadan kerana cabaran terbatal puasa adalah lebih tinggi. Sebagai contoh, dalam hal bermesra dan bercumbuan.

Jelasnya, mengikut Imam Nawawi: “Jika cumbuan berat itu dapat dikawal yakni tidak berlaku persetubuhan atau keluar mani, maka dibolehkan. Tapi jika orang itu dari golongan tidak boleh mengawal nafsu, maka ia adalah dilarang” (al-Majmu’: 6/86).

“Tidak dinafikan perbuatan bermesra, cumbu rayu, atau berdakap tidak membatalkan puasa. Kepada pengantin baru dan suami atau isteri yang tinggi nafsunya, saya nasihatkan, jangan lakukannya memandangkan ia boleh mengakibatkan ‘azl (keluarnya mazi). 

“Perbuatan ini boleh mengundang dosa. Sewajarnya bagi seorang mukmin menghindari apa juga perbuatan mampu merangsang keluarnya mazi seperti memeluk, mencium dan seumpama dengannya.

“Tapi, perkara ini tidak bererti bahawa pasangan suami isteri turut berpuasa dari melakukan hubungan seksual atau apa juga perbuatan menjurus kepada hubungan seksual. Lakukanlah pada malam hari hingga awal fajar,” jelasnya.

Bayaran puasa terbatal

Secara asas, sesiapa saja melakukan hubungan seks tanpa mengira sama ada keluar air mani atau tidak puasanya batal dan mereka dikenakan hukuman kafarat.
“Berdasarkan hadis riwayat, hukuman kafarat terhadap mereka yang melakukan hubungan kelamin pada siang Ramadan, mereka hendaklah menebus kesalahan itu dengan membebaskan seorang hamba, puasa dua bulan berturut-turut atau memberi makan enam puluh orang miskin.

“Justeru, kepada pasangan suami isteri jangan melakukan sebarang aktiviti itu sepanjang anda berpuasa. Bahkan, jangan menghampiri apa juga perkara menjurus kepada seksual pada siang hari. 

INFO: Persediaan perlu di hadapi pasangan baru

1) Persediaan Ruhiyah (Spiritual)
* Ini meliputi persediaan mengubah mental menjadi lebih bertanggungjawab, bersedia tunduk dan menerima segala ketentuan Allah, sedia berkongsi serta meluntur ego bahkan berlapang dada. Selain itu belajarlah untuk sabar dan syukur.

2) Persediaan ‘Ilmiyah-Fikriyah (Ilmu-Intelektual)
* Bersedialah untuk mengemudi rumah tangga dengan pengetahuan, ilmu dan pemahaman. Ada ilmu tentang ad-Din dan ada yang berkaitan dengan ilmu berkomunikasi makruf kepada pasangan. Ada pula ilmu untuk menjadi ibu bapa baik (parenting), pengurusan ekonomi dan banyak lagi ilmu lain.

3) Persediaan Jasadiyah (Fizikal)
* Jika sedang menderita penyakit tertentu khususnya berkaitan kesihatan reproduksi, perlulah disegerakan mencari penyembuh. Peliharalah kesihatan seutuhnya kerana ia bakal menjamin kebahagiaan rumah tangga dalaman dan luaran.

4) Persediaan Maaliyah (Material)
* Konsep awal tugasan seorang suami adalah memberi nafkah, maka tunaikan tugasan ini dengan sempurna mengikut batasan kemampuan kita.

5) Persediaan Ijtima’iyyah (Sosial)
* Persediaan untuk hidup bersama keluarga baru, hidup bermasyarakat, faham bagaimana untuk berjiran, mengerti bagaimana untuk bersosial dan mengambil peranan di tengah masyarakat.

INFO: Langkah mudah untuk pasangan baru berkahwin untuk mengamalkan puasa dengan lebih sempurna

1. Pejamkan mata dan tahanlah ia daripada memandang kepada segala perkara tercela dan dibenci oleh agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh mengganggu hati, serta melalaikan daripada mengingati Allah S.W.T.

2. Pelihara lidah daripada bercakap-cakap yang kosong, bohong, mengumpat, membuat fitnah, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan mengucapkan kata-kata riak.

3. Pelihara pendengaran daripada mendengar hal dilarang dan dibenci sebab setiap yang haram diucapkan haram pula didengari.

4. Pelihara seluruh anggota tubuh badan lain daripada membuat dosa dan memeliharanya juga daripada segala dibenci.

5. Tahan perut daripada makan makanan syubhah waktu berbuka puasa. Apalah gunanya berpuasa daripada memakan makanan halal kemudian bila berbuka pula, dia memakan makanan yang haram.

6. Janganlah membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun daripada makanan yang halal, sehingga perutnya terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci Allah s.w.t. daripada perut yang penuh dengan makanan yang halal.

-Bharian

Ashraf: 'Berilah ruang kepada Dayana, Sakinah'

Ashraf Muslim berdepan dengan pelbagai soalan sepanjang sidang media berjalan, semalam. Foto Sinar
PELAKON, Ashraf Muslim menarik perhatian umum dengan berita perkahwinan keduanya dengan Wan Sakinah Ahmad Shaburi, dua minggu lalu.

Sejak berita perkahwinan mereka diketahui umum, Asyraf memilih untuk mendiamkan diri.

Namun, semalam, Asyraf membuat keputusan untuk berdepan dengan media dan menjelaskan kedudukan sebenar dan menjawab semua pertanyaan yang diajukan.

Ashraf hadir ke sidang media itu seorang diri tanpa ditemani mana-mana isterinya.

Ketika ditanya, Ashraf akui masih belum bersedia membawa kedua-dua isterinya Noor Dayana Lokman dan Wan Sakinah  pada sidang media khas yang berlangsung, petang semalam.

"Saya tak nak mereka berada di sini (sidang media). Saya kata, biar saya cakap dulu.

"Nanti apabila saya dah sedia untuk menampilkan kedua-duanya barulah saya ceritakan. Bolehlah nak cerita apa yang nak dicerita," katanya kepada pemberita.
 Ketika sidang media sedang berlangsung, Ashraf memberitahu kedua-dua isterinya sedang keluar bersama-sama.
"Sekarang (mereka) sedang keluar sama-sama.



"Mereka ada (keluar) sebelum ini. Biar mereka berbincang ke apa ke, ikut merekalah. 'Women talk'. Biarlah," katanya.

Akui penerimaan Dayana terhadap Sakinah masih belum 100 peratus, namun mereka dalam proses menerima antara satu sama lain.

"Dalam proses. Kita tak boleh nak cakap 100 peratus sebab ini perempuan. Kita sebagai seorang lelaki kena faham perempuan.

"Ini memanglah, dalam peringkat permulaan memang cakap tak sukalah apalah tapi ini tugas saya.



"Saya sebagai ketua keluarga kena jagalah semua sekali. Dari sudut isteri-isteri saya, keluarga mertua, keluarga saya semua," katanya.

Apabila soal zuriat dibangkitkan, Ashraf menafikan itu punca dirinya berkahwin kali kedua.

"Ini (berkahwin lagi) bukan sebab zuriat atau keluarga. Bukan.

"Apabila kita ada rasa perasaan itu, kalau kita elak-elak macam mana pun, nanti ia akan...saya takut saya akan buat benda yang tak baik. Baik kita kahwinlah," katanya yang ada merancang untuk membawa kedua-dua isterinya menunaikan umrah.

Ashraf juga akui belum membawa Sakinah bertemu keluarga Dayana sejak pernikahan mereka.

"Belum lagi. Sabar dulu. Panas lagi, kena sabar dulu. Saya kena pergi keluarga sana, terangkan dan pujuk orang sana.

"Pergi sini, pujuk orang sini. Banyak kerja sikitlah apabila berpoligami, katanya.

Ketika ditanya sama ada ada peminat yang marah berhubung kontroversi ini, Ashraf berkata, kebanyakan peminatnya mengucapkan tahniah.

"Tak ada. Semua cakap tahniah. Saya cakap sikit-sikit saja. Kalau boleh tak nak...biar beritahu beginilah (sidang media).

"Penatlah nak cakap seorang demi seorang," ujarnya lagi.

Sementara itu, ketika mengulas lanjut mengenai masa depan karier isteri keduanya, Ashraf tidak akan mengizinkan Sakinah berlakon.

Namun katanya, pertimbangan akan diberikan sekiranya isterinya itu mahu kembali atau mengacara.

"Kalau pengacara itu tak tahu lagi. Kena bincang dengan dia. Tapi untuk berlakon itu, tak lah," ujarnya yang turut membuat perancangan untuk membawa kedua-dua isterinya menunaikan umrah.

-Sinar harian

Sudah jumpa bakal suami

Fiza umum sudah temui pengganti dan bakal mendirikan rumah tangga penghujung tahun ini.

BARU-BARU ini, kami di Hits telah menyiarkan cerita tentang penyanyi dan pelakon, Siti Zaidatul Fiza Abd. Halim atau lebih dikenali sebagai Fiza Elite tentang perkahwinan tidak menjadinya pada Jun lalu.

Sepatutnya kata Fiza, sekarang ini dia sudah menjadi isteri orang, tetapi sebab tak ada jodoh, dia masih lagi solo dan selesa dengan gelaran sebagai ibu tunggal.

Tetapi itu cerita dua minggu lepas. Hari Selasa lalu, kami bertemu Fiza lagi dan ada kisah menarik yang dikongsikan. Tidak mahu mengingati kisah duka tersebut, Fiza yang kini berusia 32 tahun memberitahu dia sudah bertemu dengan bakal suami baharu.

Menariknya, mereka kini sedang merancang untuk mendirikan rumah tangga dalam masa beberapa bulan selepas ini.

"Tidak dinafikan perancangan untuk kembali berumah tangga itu sentiasa ada. Insya-Allah, calonnya juga sudah ada sekarang ini. Sekiranya semuanya berjalan lancar, kami bakal melangsungkan perkahwinan pada penghujung tahun ini," katanya yang tidak mahu mendedahkan siapakah lelaki yang berjaya menambat hatinya itu.

Namun begitu menurut Fiza, usia perkenalan antara dirinya dengan jejaka misteri tersebut masih baru kerana hubungan mereka menjadi rapat dalam kedatangan bulan Ramadan tahun ini.

"Kami berkenalan sudah lama juga, tetapi hubungan antara saya dan dirinya menjadi lebih rapat dalam bulan puasa ini.

"Saya yakin semua perkara yang berlaku dalam hidup ini mempunyai hikmah yang tersendiri dan saya berharap masyarakat diluar sentiasa mendoakan yang terbaik buat diri saya," katanya yang memiliki dua orang anak melalui perkahwinan terdahulu.

Fiza ditemui sewaktu majlis Pratonton Rancangan TV AlHijrah, Syawal Satu Kemenangan yang diadakan, baru-baru ini. Tambah Fiza yang merancang untuk membawa kedua orang tuanya untuk menyambut perayaan bersama-sama di ibu kota tahun ini, individu terbabit merupakan seseorang yang juga berada dalam industri.

Hmm, tuah orang cantik. Putus cinta hari ini, esok sudah ketemu yang baru. Fiza memang mantap!
Bercakap tentang imej barunya, menurut Fiza, setiap individu pasti mempunyai pengalaman tersendir untuk menjadi seorang insan yang lebih sempurna, apatah lagi dengan kedatangan bulan puasa ini.

"Walaupun saya masih baru sahaja mengenakan hijab iaitu pada 6 Jun lalu, tetapi saya bersyukur kerana semua perkara kelihatan tenang dan mudah berbanding waktu-waktu sebelum ini.

"Walaupun beberapa tawaran berlakon terpaksa dibatalkan pada saat akhir dan kurang tawaran baru, saya masih terus mendapat peluang bekerja bagi menggantikan projek yang lalu.

"Apatah lagi dengan kedatangan Ramadan tahun ini, saya berasa lebih tenang dalam meraikannya tidak seperti tahun-tahun sebelum ini," kata Fiza lebih lanjut.

Tambah Fiza lagi, setelah berhijab, dia berasa kekok sekiranya perlu mengenakan sebarang pakaian yang agak ketat dan disebabkan itu, pakaian pilihannya kini adalah baju kurung selain berjubah.

"Memang saya baru sahaja bertudung, tetapi saya nekad tidak mahu mengenakan sebarang pakaian yang menampakkan bentuk tubuh badan lagi selepas ini. Lagipun sekiranya berpakaian sedemikian, perasaan kekok dan tidak selesa itu akan timbul dengan sendirinya," tambah Fiza yang telah mengurangkan aktiviti seni dalam bulan Ramadan ini untuk meningkatkan amalan ibadah.

-Utusan

Bulan madu ditaja?

ANGGAP gosip yang mendakwa dia mengongkong Zain sebagai perkara remeh.

MANIS dan ayu sungguh pelakon cantik Rozita Che Wan bertudung di bulan Ramadan ini. Mana tidak cair si kekasih hati, Zain Saidin. Katanya, bertudung memang menjadi imej dan penampilan sebagai tanda hormat setiap kali menjelang bulan puasa. Hai, bulan puasa je? Bulan lain?

"Saya belum bersedia lagi untuk berhijab. Mungkin suatu hari nanti. Dah terbuka hati. Siapa tahu kan," jawapan yang sangat jujur dan ikhlas diberikan kepada Hits ketika ditanya mengenai niat untuk memakai tudung.

Tidak mahu cerita panjang lebar, Hits terus mengajukan soalan tentang persiapan perkahwinannya. Walaupun di bulan Ramadan, soalan itu tetap utama. Yelah, mesti ramai peminat yang ingin tahu apa yang mereka sudah lakukan untuk majlis yang bakal diadakan pada penghujung tahun ini. Tidak sabar rasanya melihat Rozita atau lebih mesra dipanggil Che Ta berada di atas pelamin bersama kekasih hati yang muda, Zain Saidin, 29.

Dikhabarkan baru-baru ini Che Ta, 42, menjelaskan bahawa sudah ada beberapa penaja yang sudi membantu majlis pernikahannya yang merangkumi tajaan pakaian, lokasi, makanan dan sebagainya. Kali ini lain pula cerita yang timbul.

Rupa-rupanya, menurut Che Ta, pakej bulan madu mereka juga sudah siap disediakan. Wah, memang gembiralah empunya badan. Mana tidaknya, tarikh belum ditetapkan lagi, sudah banyak pula tajaan yang Che Ta dapat.

"Memang sudah ada pakej bulan madu itu. Cuma tidak tentukan tempat lagi. Lokasi itu nanti akan saya tentukan bersama dengan Zain. Biar ia bersesuaian dengan citarasa kami berdua.

"Saya memang cukup bersyukur dan berterima kasih kepada pihak yang ingin memberi tajaan dalam majlis pernikahan saya nanti.

"Tidak sangka dan rasa sangat bertuah dengan tajaan tersebut tetapi saya juga tidak akan bergantung semata-mata kepada tajaan itu. Saya dan Zain sama-sama membuat persiapan.

"Kalau di belah saya, saya sediakan untuk majlis sebelah saya. Begitu juga dia (Zain). Kami sama-sama sudah bersedia.

"Saya sebenarnya tidak kisah jika majlis kami tidak dibuat secara besar-besaran, asalkan majlis berlangsung dengan penuh meriah dan berjalan dengan lancar," kata Che Ta yang tidak merahsiakan persiapan majlis perkahwinan kedua buat dirinya.

Akui Che Ta, dia tidak memilih untuk mengikat tali pertunangan dengan kekasihnya kerana sudah lama kenal antara satu sama lain.

"Bagi saya, bertunang adalah satu tempoh atau proses untuk mengenali pasangan kita dengan lebih dekat. Kami dah kenal lama, jadi saya rasa kami tak perlu bertunang.

"Saya bakal berkahwin dengan lelaki bujang dan ini merupakan perkahwinan pertama buat Zain.

"Jadi, mungkin kami akan adakan sebuah majlis yang istimewa untuk dijadikan memori indah buat kami berdua," ujar Che Ta dengan ukiran senyuman manis.

Ditanya mengenai sifat Zain terhadap anak-anak, Che Ta juga mengaku Zain sangat rapat dengan dua orang anak terunanya, Ammar Effendy, 17, dan Aniq Ezzra, 15.

"Tidak saya nafikan, Zain memang sangat rapat dengan Ammar dan Aniq. Mereka juga saya lihat sudah seperti kawan baik. Sebab itu mereka sangat mesra.

-Utusan