Seri pengantin cukup terserlah di wajahnya yang jelita dan anggun bertudung pada petang itu. Maklumlah, belum sampai sebulan pun pelakon berdarah kacukan Malbari-Melayu, Fyza Kadir, 27, memegang status isteri kepada ahli perniagaan syarikat minyak dan gas, Ahmed Feruz Zainul Abidin, 32, selepas diijabkabulkan di sebuah hotel di Cyberjaya, 7 Julai lalu.
Secara peribadi, pemilik nama sebenar, Norhafezzah A Kadir yang juga pelakon filem genre aksi, 1 Lawan 1 arahan Pierre Andre ini mengakui dirinya masih dalam proses menyesuaikan diri dengan status barunya itu.
“Alhamdulillah, kini, hidup saya sudah lengkap, sejak bergelar isteri. Pada masa sama, saya cukup bertuah kerana dikurniakan suami yang cukup memahami dan merestui minat saya dalam bidang seni.
“Walaupun sudah berkahwin, suami juga tidak menghalang saya terus berlakon asalkan tidak melanggar batasnya. Memang sejak awal lagi, saya memang menolak babak panas, peluk dan cium dalam lakonan. Apatah lagi, bila sudah berkahwin, pasti saya perlu menjaga nama baik dan maruah keluarga kedua belah pihak,” katanya.
“Walaupun sudah berkahwin, suami juga tidak menghalang saya terus berlakon asalkan tidak melanggar batasnya. Memang sejak awal lagi, saya memang menolak babak panas, peluk dan cium dalam lakonan. Apatah lagi, bila sudah berkahwin, pasti saya perlu menjaga nama baik dan maruah keluarga kedua belah pihak,” katanya.
FYZA tetap jelita selepas berkahwin.
Berbanding zaman bujang, kedatangan Ramadan nyata lebih bermakna buat Fyza kerana menyambutnya dengan fasa baru sebagai isteri. Menurutnya, sambutan Ramadan kali ini lebih meriah kerana dapat menyambutnya bersama keluarga mentua di Gombak, Selangor.
“Jika dulu saya hanya menyambut Ramadan bersama ibu dan empat adik beradik lain, kali ini berbeza kerana menyambutnya dengan keluarga mentua yang besar dalam suasana lebih meriah.
“Ibu mentua pula memang pakar memasak bermacam juadah untuk sajian berbuka seperti roti tepuk (makanan Pakistan), rendang serta ayam masak kari yang dihidangkan secara bufet sepanjang sebulan Ramadan.
“Maklumlah, suami juga memang suka makan di rumah dan menu wajibnya ketika berbuka ialah nasi kerabu, daging salai masak cili api ‘air tangan’ ibunya. Saya pula tidak suka makan nasi dan menu kegemaran ketika berbuka ialah murtabak, kuetiau goreng dan kuih tepung pelita yang dibeli di Bazar Ramadan Taman Tun Dr Ismail. Minuman yang saya suka pula ialah air sirap selasih,” katanya.
Menyentuh sambutan Aidilfitri pula, kata Fyza yang sudah dua tahun tidak beraya tanpa arwah bapanya, A Kadir, 62.
“Selepas arwah bapa meninggal dunia, sambutan Aidilfitri kami sekeluarga tidak lagi semeriah dulu di kampung halaman di Johor Bahru. Malah, ibu, Aminah Abdullah, 55, dan empat lagi adik beradik lain juga memilih untuk beraya bersama saya di rumah keluarga mentua pada hari raya pertama nanti.
“Saya juga memperuntukkan tiga hingga empat pasang baju raya termasuk yang sedondon dengan suami untuk di gayakan pada sambutan Syawal tahun ini. Juadah raya kegemaran saya pastinya ‘air tangan’ ibu iaitu ayam masak merah, lontong, nasi minyak dan ketupat,” katanya.
Belum dapat tarikh majlis resepsi
Mengikut perancangan, kata pelakon filem genre aksi, Kisah Paling Gangster arahan Brando Lee ini, dia dan suami bakal mengadakan majlis resepsi di sebuah hotel bertaraf lima bintang di Kuala Lumpur pada Oktober nanti tetapi masih memilih tarikh yang sesuai.
“Selain persiapan raya yang bakal menjelang, kami juga sibuk buat persiapan untuk majlis resepsi nanti. Buat masa ini, kami masih belum putuskan tarikh dan lokasi yang sesuai untuk majlis resepsi berkenaan. Semuanya masih dalam peringkat perbincangan lagi. Dari segi tema, saya juga mengimpikan konsep Inggeris,” katanya.
Ditanya sama ada dia turut mengundang pihak media, Fyza yang bernaung di bawah payung MIG Talents berkata, dia memang berhasrat untuk mengundang semua pihak media cetak dan elektronik untuk merakamkan majlis resepsi nanti.
“Tidak terlintas di hati saya untuk menyorokkan majlis akad nikah kami dari pihak media sebelum ini sebaliknya majlis itu hanya untuk anggota keluarga terdekat saja. Apapun, saya merancang untuk mengundang semua pihak media membuat liputan majlis resepsi kami sekali gus sama-sama meraikan hari bersejarah kami itu.
“Pada masa sama, kami juga memohon maaf jika ada pihak media yang berkecil hati kerana tidak diundang pada majlis akad nikah yang berlangsung sebelum ini,” katanya.
-Hmetro
0 comments:
Post a Comment