Friday, July 19, 2013

Fizo sibuk jual serunding

Peluang mempromosikan serunding buatan turun-temurun keluarganya dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelakon, Fizo Omar dengan membuka gerai di Bazar Ramadan Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur untuk kali ketiga.
Memulakan perniagaan pada jam 3 petang hingga lewat malam, gerai yang terletak di tengah-tengah antara Kompleks Campbell dan Semua House ini dijaga oleh dua pembantu Fizo.
Atas sambutan yang begitu menggalakkan tahun lalu, Fizo mengakui dia kini lebih serius terhadap perniagaan yang diwarisi keluarganya malah jumlah pemprosesan akan dinaikkan kepada 3,000 kilogram (kg) berbanding tahun lalu hanya 2,000kg diperuntukkan.

Tidak sangka dengan sambutan yang diterima, Fizo berkata, sebelum Ramadan lagi tempahan sehingga 500kg sudah menanti malah ada pelanggan yang sudah membayar wang pendahuluan.
Foto
MELAYAN pelanggan yang membeli serunding di gerainya yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

“Selepas terfikir untuk mengkomersialkan serunding ini empat tahun lalu, saya hanya berpeluang menjualnya secara kecil-kecilan dari tangan ke tangan hinggalah terfikir menjualnya di pasaran ‘online’.

“Alhamdulillah sambutan yang diterima begitu menggalakkan, kini saya sudah mempunyai pelanggan tetap yang tidak putus-putus membuat tempahan, malah ada pelanggan yang membeli hingga 10kg hanya untuk dimakan sendiri saja,” kata­nya.

Menggunakan jenama Serunding Fizo Omar, serunding yang terdapat dalam perisa ayam dan daging itu dibuat secara tradisional oleh lebih 10 orang pekerja Fizo di Kelantan.

Perniagaan serunding ini masih beroperasi dan diuruskan kakaknya di kedai yang terletak di Selising, Pasir Puteh, Kelantan.

Untuk tahun ini juga Fizo menolak banyak tawaran berlakon demi memberikan sepenuh perhatian terhadap perniagaannya itu.

“Jika tahun lalu saya menyerahkan kepada pekerja untuk menjaga gerai dan memantau sekali sekala, tetapi melihat sambutan yang luar biasa tahun ini, saya nekad untuk lebih fokus terhadap serunding saya kerana itu banyak tawaran berlakon terpaksa saya tolak.

“Saya hanya mengambil beberapa tawaran program Aidilfitri dan selebihnya masa banyak dihabiskan dengan memberi perhatian terhadap serunding dan mungkin saya akan lebih kerap berada di bazar Ramadan di sini.

“Bukan hanya di bazar, pembelian menerusi ‘online’ juga banyak diterima menyebabkan saya harus lebih fokus untuk sementara waktu bagi memastikan pesanan diterima pelanggan. Selepas Aidilfitri juga perniagaan akan berjalan seperti biasa dan penghantaran akan dilakukan melalui pos ke rumah pelanggan,” katanya.

Bukan hanya serius terhadap perniagaan serunding, Fizo kini berbangga apabila gerai burger miliknya Hot Burger sudah mempunyai 30 gerai di sekitar ibu negara yang turut menjual serunding.

“Saya mensasarkan dapat membuka 100 gerai Hot Burger dan insya-Allah selepas ini beberapa gerai akan dibuka di Johor Bahru dan Kelantan. 

“Kepada pelanggan yang tidak berpeluang singgah ke gerai saya di Jalan Tuanku Abdul Rahman boleh mendapatkan serunding ini di gerai-gerai Hot Burger.

“Selain itu mereka juga boleh membuat tempahan secara ‘online’ di www.fb.com/fofanpage atau Twitter @fizoomar,” katanya.
-Hmetro

0 comments:

Post a Comment