Tuesday, July 23, 2013

Bayi lelaki ditinggalkan di surau hospital

BUKIT MERTAJAM 24 Julai - Seorang bayi lelaki yang berusia kira-kira tiga bulan ditemui ditinggalkan di depan surau Hospital Seberang Jaya di sini semalam.

Bayi itu ditemui oleh orang awam yang menunaikan solat Asar di surau tersebut kira-kira pukul 4.35 petang.

Jurucakap polis berkata, bayi seberat lima kilogram itu dipercayai baru ditinggalkan di kawasan itu.

Katanya, bayi itu dibalut dengan selimut dan turut ditinggalkan bersama susu, tuala dan baju.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Azman Abd. Lah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan itu.

Menurutnya, bayi berkenaan berada dalam keadaan sihat dan menerima rawatan di hospital.

"Bayi itu berada dalam keadaan sihat, siasatan masih diteruskan bagi mengesan individu yang membuang bayi terbabit," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini diminta menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

- UTUSAN ONLINE

0 comments:

Post a Comment