BATU GAJAH – Kerana dikuasai perasaan cemburu, seorang suami hilang pertimbangan sehingga sanggup menikam isterinya dengan sebilah pisau pemotong sayur selepas pertengkaran yang berlaku di tingkat 1 sebuah rumah kedai, di Jalan Pasar di sini, malam kelmarin.
Mangsa, Than Dar, 25 merupakan pelarian warga Indonesia di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR), dijumpai pada kira-kira jam 11.20 malam di biliknya, dalam keadaan terbaring berlumuran darah dengan satu kesan tikaman.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abd Latif memaklumkan, hasil bedah siasat mendapati mangsa ditikam dari bahagian belakang badan sehingga menembusi paru-paru kanan yang menjadi punca kematian.
Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan motif kejadian adalah kerana cemburu berikutan suspek yang merupakan warga Myanmar berusia 20 tahun mengesyaki mangsa mempunyai hubu- ngan sulit dengan lelaki lain.
"Pasangan itu berkahwin dua tahun lalu dan mendiami sebuah bilik di rumah berkenaan bersama adik suami serta dia rakannya yang tinggal di bilik berasingan.
"Berdasarkan maklumat yang diperoleh, berlaku pertengkaran hebat antara pasangan berkenaan dan selepas itu suspek dilihat meninggalkan mangsa dengan membawa bersama anak lelaki mereka yang berusia dua tahun," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.
Shaharon Anuar berkata, kecekapan polis membolehkan suspek, aduk suspek serta dua rakannya berjaya ditahan kira-kira empat jam selepas kejadian di tiga lokasi berasingan sekitar Batu Gajah.
Katanya, suspek ditahan di Happy Garden dan anaknya yang dibawa bersama akan ditempatkan di bawah pemerhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Polis berjaya selesaikan kes berkenaan dalam masa enam jam dan kesemua yang tangkap, ditahan selama tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu membunuh," katanya.
Sementara itu jiran mangsa, S Sagunalan, 42 berkata, anaknya yang berusia 16 tahun ternampak suspek melarikan diri dalam keadaan tergesa-gesa bersama anaknya.
"Boleh dikatakan pasangan itu bertengkar setiap malam. Kadang kala sampai jam 2 atau 3 pagi.
"Namun kejadian kali ini memang mengejutkan. Pasangan itu terutama mangsa yang bekerja sebagai pembantu di kedai runcit berhampiran memang baik dengan jiran-jiran," katanya.
-Sinar Harian Online
0 comments:
Post a Comment