KUANTAN – Ramadan kali ini tentunya meninggalkan memori pahit kepada keluarga dua beradik, Ariff Akmal Ab Razak, 22 dan Aniq Ihsan Abd Razak, 16 yang terkorban dalam satu nahas jalan raya berhampiran Mahkamah Kuantan, Jalan Pintasan Kuantan, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu kedua-dua mangsa bersama dua lagi adik-beradik mereka, Nur Arissa Farahanim, 21 dan Aliff Imran, 25 yang juga pemandu kenderaan dalam perjalanan ke tempat kerja di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).
Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, kemalangan melibatkan sebuah bas dan dua kereta.
Menurutnya, ketika kejadian kereta dinaiki mangsa berada di lorong kanan dan berlanggar dengan sebuah lagi kereta yang datang dari arah susur keluar mahkamah dipercayai secara tiba-tiba mengubah laluan kiri ke kanan.
“Selepas berlanggar dengan kereta berkenaan, kereta mangsa kemudian dirempuh sebuah bas dari arah belakang.
“Kedua-dua mangsa maut bersama dua lagi adik beradik mereka yang bekerja sebagai tukang masak di Kafeteria UIA dan ketika kejadian mereka dalam perjalanan dari rumah di Lorong Sentosa Kg Telok Mahang ke kafeteria berkenaan," katanya kepada Sinar Harian.
Kata Mohd Jasmani, kedua-dua mangsa yang juga penumpang hadapan dan penumpang belakang sebelah kiri meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Dua lagi adik-beradik mangsa terselamat namun mengalami kecederaan dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
“Mayat mangsa dihantar ke HTAA untuk bedah siasat," katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya lebih berhati-hati dan memandu secara berhemah.
“Jangan hanya pentingkan diri sendiri dan fikir untuk cepat sampai sehingga mengabaikan ciri keselamatan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment