BATU PAHAT 19 Julai - Kesungguhan seorang bapa tunggal memancing ikan untuk dijadikan juadah berbuka puasa bersama enam anaknya berakhir dengan tragedi apabila dia meninggal dunia akibat dipatuk ular di Empangan Bekok, di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 3.30 petang itu, mangsa, Md. Supian Afendi, 55, mengajak beberapa rakannya untuk memancing di empangan berkenaan bagi mencari juadah berbuka untuk anak-anaknya yang berusia enam hingga 22 tahun.
Bagaimanapun, nasib malang menimpa bapa tunggal yang kematian isteri sejak empat tahun lalu itu apabila dia dipatuk ular di pergelangan tangan kanan.
Anak sulung mangsa, Mohamad Sallehin, 22, berkata, ayahnya yang juga 'ibu' kepada mereka memang gemar memancing sejak muda bersama rakan-rakannya.
"Mengikut cerita yang disampaikan oleh rakan ayah, kejadian itu berlaku semasa dia cuba menangkap seekor ikan di celah batu, tanpa disedari terdapat ular di situ yang telah mematuk bahagian pergelangan tangan.
"Ayah mungkin tidak begitu mengetahui dia telah dipatuk ular merbahaya kerana masih terus memancing selepas itu, namun selepas 10 minit dia tiba-tiba rebah dan pengsan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Melihat mangsa yang pengsan, rakan-rakannya telah membawanya untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Yong Peng, bagaimanapun pihak klinik mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
Mohamad Sallehin dan adik-adiknya yang masih bersekolah reda dengan pemergian ayah mereka khususnya untuk menyambut Aidilfitri yang akan menjelang tidak lama lagi.
Jenazah Md. Supian selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bindu, di sini hari ini.
-Utusan
0 comments:
Post a Comment