Tuesday, July 23, 2013

Ibu Hidap Kanser, Iqbal Mazlan Tolak Tawaran Berlakon

Iqbal Mazlan
PETALING JAYA: Pelakon Iqbal Mazlan terpaksa menolak banyak tawaran berlakon pada Ramadan ini bagi menjaga ibunya Norhaslinda Beracian Abdullah, 53, yang menghidap penyakit kanser payudara.
Iqbal,25, yang juga juara Pilih Kasih musim pertama berkata, ibunya yang baru sahaja menjalani pembedahan bagi membuang payudara sebelah kiri memerlukan perhatian yang cukup daripada ahli keluarga.
"Bulan puasa ini saya tidak ambil apa-apa tawaran berlakon semata-mata untuk fokus menjaga ibu dan anak angkat saya iaitu Adam yang kini berusia dua tahun.
"Ibu baru sahaja melakukan pembedahan pada 18 Julai lepas dan sekarang terpaksa berulang alik dari rumah ke Hospital Klang untuk dapatkan rawatan lanjut dan sesi kemoterapi," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Selasa.
Tambah Iqbal, di saat-saat sebegini ibunya memerlukan lebih banyak sokongan daripada keluarga.
"Kita faham perasaan dia, kadang-kadang dia hendak makan macam-macam terpaksa juga kami sekeluarga usaha untuk carikan.
"Kadang-kadang emosi pun berubah-rubah tapi Alhamdulillah ibu seorang yang sangat tabah dan tidak pernah menunjukkan rasa kecewa atau lemah dalam melawan penyakit," katanya.
Jelas Iqbal, dia sekeluarga menjalankan kehidupan seharian seperti sebelum ini tanpa terlalu memikirkan keadaan kesihatan ibunya.
"Kami buat macam biasa seperti sewaktu ibu sihat kerana kami tidak mahu dia rasa berbeza, kami tidak terlalu memikirkan soal penyakit itu," katanya.
Dalam pada itu, Iqbal berkata, dia turut mempunyai rutin harian dengan membawa ibu bersenam bagi mengembalikan semangatnya.
"Setiap petang saya akan bersenam bersama ibu bagi mengeluarkan peluh, lagi pula doktor menasihatkan agar selalu buat pergerakan pada tangan sebelah kiri," kata Iqbal.
-mStar

0 comments:

Post a Comment