ANGIN tiada ribut tiada tiba-tiba nama pelakon putih melepak, Farahdhiya Mohamed Amin atau Farahdhiya kembali meledakkan industri seni. Semuanya gara-gara dia didakwa berperangai diva ketika menjalani penggambaran drama bersiri Perempuan Dalam Pasungan.
Cerita tentang sikap berlagak pelakon yang pernah popular menerusi drama Chinta itu ditulis oleh seorang wartawan senior sebuah akhbar tempatan selepas menerima aduan daripada pihak produksi drama tersebut iaitu Darkwave Picture Sdn. Bhd.
Tidak mendedahkan siapakah gerangan individu yang bertanggungjawab menyebarkan cerita tersebut, Farahdhiya dituduh bersikap diva kerana meminta bayaran penuh sebelum selesai penggambaran.
Bukan itu sahaja, pelakon berusia 29 tahun itu juga didakwa tidak mahu bercampur dengan orang dan gagal memenuhi waktu penggambaran.
Nafi
Farahdhiya turut dikatakan tidak mahu terbabit dengan penggambaran waktu malam disebabkan ingin bermain badminton bersama teman-teman malah sering merungut apabila pengurus produksi menukar lokasi penggambaran.
Enggan berterusan menghukum pelakon cantik yang semakin langsing itu, Kosmo! menghubunginya untuk mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan tersebut.
Biarpun tenang sahaja suaranya kedengaran di corong telefon, terdapat kekecewaan besar yang dirasai oleh Farahdhiya. Farahdhiya turut mengakui tidak terkejut dengan cerita itu kerana dia tahu siapakah si penyebar fitnah tersebut.
Menjawab perkara itu, dia menafikan sekeras-kerasnya semua dakwaan tersebut, malah dengan berani pelakon berwajah Pan-Asian itu mendedahkan dia ada berselisih faham dengan penerbit drama tersebut yang turut berlakon dalam drama Perempuan Dalam Pasungan iaitu Datuk Rafiena Ezanee.
"Sebenarnya bila saya dapat tawaran berlakon drama tersebut, saya sedang menjalani penggambaran untuk sebuah telefilem. Saya dapat jadual yang mana watak saya terlibat untuk enam hari sahaja.
"Walau bagaimanapun, satu tarikh yang mereka berikan bertembung dengan tarikh penggambaran telefilem yang sedang saya jalani.
"Mereka kata tiada masalah dan boleh ubah tarikh tersebut. Lagipun kata mereka penggambaran untuk watak saya cuma dilakukan pada sebelah siang.
"Jadi, saya fikir tiada masalah untuk saya terima tawaran tersebut disebabkan ia tidak lagi bertembung dengan waktu penggambaran saya yang lagi satu.
"Bila perkara itu selesai saya diberitahu pula bayaran watak saya untuk satu hari cuma RM400. Saya tidak boleh terima dan mengatakan bajet tersebut terlalu rendah. Akhirnya, mereka setuju dengan bayaran yang diminta saya," jelasnya.
Penerbit datang lambat
Disangka panas sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari, ketika hari penggambaran, Farahdhiya yang hadir pada pukul 9 pagi di lokasi penggambaran terpaksa menunggu Rafiena selama hampir tiga jam!
Luahnya: "Waktu penggambaran saya dengan penerbit (Rafiena) sebenarnya pukul 9 pagi, tetapi pukul 11.30 pagi baru dia sampai. Sebelum terima tawaran lagi saya sudah cakap kalau boleh sebelum waktu makan tengah hari saya harus ke lokasi lagi satu.
"Mereka telah setuju perkara itu, tetapi malangnya penerbit sendiri buat hal datang lambat. Sudahlah lambat, boleh pula dia bersolek dulu dan bercerita yang dia pergi menunggang kuda pagi itu."
Tiada perkataan maaf daripada penerbit tersebut, Farahdhiya yang tidak berpuas hati mengadu perkara tersebut kepada pembantu pengarah iaitu Diana tetapi malangnya aduan itu tidak diendahkan.
Tidak cukup dengan itu, luah Farahdhiya, dia juga terpaksa menjalani penggambaran di Shah Alam, Selangor sedangkan pada asalnya dia diberitahu cuma menjalani penggambaran di Kuala Lumpur.
Bukan kerana enggan menjalani penggambaran jauh, tutur Farahdhiya, dia tidak suka terkejar-kejar ke penggambaran lain dan tidak mahu datang lambat ke lokasi tersebut.
"Pasal bayaran pula, memang sepatutnya saya dibayar 50 peratus ketika mula penggambaran dan 50 peratus lagi pada akhir penggambaran.
"Saya tiada masalah cuma ketika habis penggambaran, sekali lagi dia (Rafiena) datang lambat. Saya menunggu dia tiga jam untuk bayaran tersebut," ungkapnya yang mengakui tidak bercampur dengan orang produksi ketika makan kerana dia sememangnya diet daripada makan nasi.
Ditebak mengenai perasaannya dituduh bersikap diva, Farahdhiya akui, sebagai manusia dia berasa sakit hati kerana semua tuduhan yang dilemparkan kepadanya tidak benar.
Mengulas lanjut, ujar Farahdhiya, dia tidak pernah berdepan dengan insiden seperti itu (dituduh diva di lokasi) selama hampir 10 tahun berkecimpung dalam bidang lakonan.
"Saya tidak pernah ada masalah disiplin selama hampir 10 tahun berlakon. Apa yang disuruh dan sudah tertera dalam kontrak saya akan ikut.
"Tanyalah pada penerbit A. Aida yang sememangnya orang tahu dia seorang yang tegas dan garang, bagaimana cara saya di lokasi. Berapa banyak projek yang saya buat dengan dia tanpa ada masalah," ujarnya yang berani bersumpah semua perkara yang ditulis wartawan akhbar terbabit adalah tidak benar.
-Kosmo
0 comments:
Post a Comment