KUALA LUMPUR 15 Julai - Datuk Khalid Jiwa (Datuk K) terpaksa melupakan hasrat untuk membawa isterinya, penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza menunaikan umrah di Tahan Suci Mekah sempena Ramadan kali ini.
Ini kerana keadaan kesihatan beliau belum pulih sepenuhnya kesan daripada kecederaan parah ekoran kemalangan ketika bermotosikal di New Zealand, tahun lalu.
Menurutnya, beliau belum boleh melakukan aktiviti berat, termasuk melalui perjalanan jarak jauh.
"Saya sudah boleh melakukan banyak aktiviti harian tetapi bukan yang melibatkan aktiviti berat. Berjalan jauh sangat pun doktor tidak galakkan kerana beberapa anggota badan terutamanya leher saya masih dalam rawatan.
"Walaupun perasaan seperti dilambai-lambai untuk kembali ke Tanah Suci pada Ramadan kali ini, saya terpaksa tahan dan menangguhkannya," katanya kepada Utusan Online.
Mengenai kemalangan itu, Datuk K buat pertama kalinya juga bercerita kepada media tentang apa sebenarnya yang berlaku.
"Saya seperti mendapat nyawa kedua. Orang kata mati hidup semula, begitulah keadaannya.
"Ia satu pengalaman yang sangat menginsafkan saya sebagai hamba-Nya. Semasa kejadian itu berlaku, saya pengsan di tempat kejadian. Saya terjaga dari pengsan setelah tiba-tiba terdengar laungan azan," katanya lagi.
Datuk K mengalami kecederaan serius, termasuk patah di leher, bahu dan tangan setelah motosikal berkuasa tinggi yang dipandunya terbabas di bahu jalan, ketika bercuti dengan seorang rakan lelaki di New Zealand, hujung Disember 2012.
Gara-gara kecederaan itu, beliau telah diterbangkan pulang dengan pesawat peribadi ke Kuala Lumpur setelah dua minggu dibedah di negara tersebut.
-Utusan
0 comments:
Post a Comment