Monday, July 8, 2013

JPJ patut permudah ujian komputer

JPJ patut permudah  ujian komputer
Kuala Lumpur: Gagal ujian berkomputer berulang kali dan memerlukan kos tambahan untuk mengulang didakwa punca calon enggan memohon lesen memandu.

Presiden Persekutuan Persatuan Institut dan Sekolah Memandu Malaysia (PERPISMA), Harun Shafiee, berkata kajian mendapati 70 peratus calon peperiksaan gagal ujian komputer kerana soalan mengelirukan. 
Selain itu, katanya, peruntukan masa peperiksaan iaitu 45 minit juga terhad bagi calon yang tidak mahir menggunakan komputer. 


“Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) wajar memberi dua pilihan iaitu peperiksaan bertulis atau melalui komputer. Penstrukturan semula 50 soalan itu juga perlu dilaksanakan bagi memudahkan calon.

Keliru soalan

“Calon sering mengadu tidak memahami soalan dan keliru pilihan jawapan yang disediakan. Soalan harus mempertimbangkan pemahaman pelbagai lapisan masyarakat supaya permohonan lesen lebih memudahkan,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Harun berkata, pertimbangan JPJ melalui pengkajian semula ujian berkomputer wajar dilaksanakan dalam masa terdekat bagi mengelak lebih ramai pengguna jalan raya memandu tanpa lesen. 
Sementara itu, Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, pula berkata kerjasama pelbagai pihak wajar digembleng bagi mengekang pelajar menunggang motosikal tanpa lesen.

Katanya, ibu bapa tidak harus mengabaikan keselamatan anak mereka demi menyediakan kemudahan pengangkutan ke sekolah.

“JPJ dan polis perlu melakukan pemeriksaan berkala di sekolah bagi memastikan murid tidak menunggang motosikal tanpa lesen. Ibu bapa juga harus tegas dalam perkara ini sebelum kejadian buruk berlaku.

“Kempen kesedaran mengenai bahaya menunggang motosikal tanpa lesen wajar dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak seperti sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pihak berkuasa dan ibu bapa,” katanya.

-Bharian

0 comments:

Post a Comment