KOTA BHARU – Polis tidak menolak kemungkinan seorang pembunuh upahan telah diarahkan oleh pihak tertentu untuk menembak mati seorang guru muzik di Kampung Beris Panchor, Bachok dekat sini kelmarin.
Andaian itu berdasarkan maklumat daripada beberapa individu mengatakan terdapat pihak yang sakit hati dengan mangsa, Hashim Mat Zain, 43, yang didakwa mempunyai banyak hutang dan tidak berpegang pada janji.
Selain itu, dendam lama juga disyaki menjadi motif pembunuhan. Mangsa dikatakan ditembak menggunakan pistol jenis Smith & Wesson.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, melalui maklumat yang dikumpul, mangsa yang juga Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Kebangsaan Beris Panchor turut terlibat dalam aktiviti jualan langsung, kontrak dan pembalakan namun ia masih dalam siasatan.
“Setakat ini kita terima khabar angin sahaja mengatakan mangsa ini banyak hutang, tak bayar hutang, janji dengan orang tetapi tidak tepati. Mungkin orang yang tertipu rasa marah, sakit hati kemudian upah orang untuk melaksanakan jenayah.
“Kebanyakan kes tembak di Kelantan bersebab, sama ada balas dendam, tidak puas hati. Mesti ada sebab, bukan sewenang-wenang melakukan samun, rompak dan tembak, tidak. Pandangan saya, ini mesti ada dendam lama dan sakit hati,” katanya ketika ditemui semalam.
-Kosmo
0 comments:
Post a Comment