Monday, July 8, 2013

Mayat wanita di dalam kebun durian

BALIK PULAU – Seorang wanita menjadi mangsa pembunuhan kejam apabila lehernya dikelar sebelum mayatnya yang memakai baju T dan seluar dalam hitam dicampak di dalam sebuah kebun durian hingga tersangkut pada pagar Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) White Resort, Bukit Genting di sini.
Mayat wanita berusia lingkungan 20 hingga 30-an itu ditemui oleh seorang pekerja yang sedang memungut durian di kebun tersebut pada pukul 8.30 pagi.
Dia yang tergamam telah memberitahu majikannya sebelum menghubungi polis.
Polis percaya, mangsa telah dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak dari jalan dekat cerun bukit di situ. Jarak antara lokasi mayat ditemui dan jalan terbabit kira-kira 10 meter.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, pemeriksaan menemui kesan luka di belakang kepala, leher dan kelar di leher sepanjang 10 sentimeter.
Katanya, mangsa dipercayai warga asing berikutan tiada kesan suntikan ditemui pada kedua-dua lengan dan polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada mayat itu.
“Mangsa berkulit putih, rambut panjang dan mempunyai ketinggian kira-kira 163 sentimeter. Siasatan awal percaya suspek telah memberhentikan kereta sebelum mencampakkan mayat mangsa ke bawah cerun bukit sebelum tersangkut pada pagar sempadan kem PLKN tersebut.
“Andaian itu dibuat selepas kita menemui kesan darah mangsa di penghadang besi tepi jalan,” katanya ketika ditemui.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat dan kes di siasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.
-Kosmo

0 comments:

Post a Comment