SHAH ALAM – Kematian seorang gadis yang mayatnya ditemui dibakar teman lelakinya dua tahun lepas berakhir dengan bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu dihukum penjara 18 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Hakim Datuk Ahmadi Aznawi menjatuhi hukuman tersebut ke atas Muhammad Khairi Nor Aziz, 21, selepas tertuduh mengaku salah atas pertuduhan pilihan menyebabkan kematian Nurul Awatif Mohd. Syakir, 19, pelajar Maahad Tahfiz-At-Tijarah di Selayang, Selangor.
Beliau memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 12 September 2011.
Muhammad Khairi didakwa menyebabkan kematian Nurul Awatif di No. B-119, Apartmen Sri Wira, Jalan Ukay Perdana 2, Taman Ukay Perdana, Hulu Klang, Selangor antara pukul 9 malam 4 September 2011 hingga pukul 2.15 pagi pada 5 September 2011.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun.
Muhammad Khairi sebelum ini berhadapan hukuman mati mandatori bagi kesalahan membunuh mengikut Seksyen 302 kanun sama.
Ahmadi dalam penghakimannya berkata, dalam menjatuhkan hukuman, mahkamah mengambil kira umur tertuduh yang masih muda, tiada rekod jenayah dan laporan dari Penjara Kajang yang menunjukkan tertuduh mempunyai tingkah laku baik sepanjang ditahan.
Namun begitu, beliau menyifatkan kesalahan Muhammad Khairi adalah serius dan tiada kewajaran bagi tertuduh untuk menyebabkan kematian mangsa.
“Awak ada kemahuan dan kehendak serta rasa diri amat tinggi untuk bersama dengan mangsa. Awak paksa diri awak ke atas mangsa dan mangsa menolak kemahuan awak.
“Perkara ini tidak beri kewajaran kepada awak untuk menyebabkan kematian ke atas mangsa dengan menekupnya sehingga mangsa tidak bernafas,” katanya.
Menurut Ahmadi lagi, tindakan tertuduh membakar mangsa hanya untuk menyembunyikan perbuatan menyebabkan kematian adalah tidak wajar sama sekali.
Sehubungan itu, beliau berpendapat, dalam kes ini kepentingan awam mengatasi kepentingan tertuduh dan dia memerintahkan Muhammad Khairi dihukum penjara 18 tahun bermula dari tarikh ditangkap.
-Kosmo.com.my
0 comments:
Post a Comment