BERKESEMPATAN bertemu artis cantik kelahiran Indonesia, Nikita Willy buat kali kedua baru-baru ini, timbul rasa kagum terhadap dirinya yang kelihatan semakin cantik.
Menariknya, kehadiran Nikita ke Malaysia kali ini bagi melancarkan album sulungnya, Lebih Dari Indah tidak keseorangan kerana dia turut ditemani ibunya iaitu Yora Febriana.
Menurut Nikita, dia sangat bersyukur kerana sepanjang 10 tahun berkecimpung dalam bidang seni, peminat sentiasa memberikan respons yang positif dan kebanyakan sinetron yang dilakonkannya mendapat sambutan baik.
"Selain mempunyai ramai peminat di negara kelahiran sendiri, saya teruja kerana turut popular di Malaysia. Saya tahu kebanyakan sinetron lakonan saya ditayangkan di negara ini seperti Putri Yang Ditukar, Safa Dan Marwah dan Yusra Dan Yumna.
"Jadi, peluang untuk kembali hadir ke Malaysia sudah tentu tidak dilepaskan sama sekali dan album Lebih Dari Indah ini merupakan hadiah istimewa buat saya kepada peminat di sini," ujarnya yang didakwa sebagai antara artis yang menerima bayaran paling tinggi di Indonesia.
Bercerita lebih lanjut mengenai perkembangan kerjayanya pula, Nikita memberitahu segala nikmat yang diperoleh itu bukanlah datang dengan cara yang mudah.
Utamakan lakonan
Ujarnya, dia terpaksa membayar harga yang cukup tinggi, terutamanya melepaskan usia remajanya memandangkan jadual penggambarannya yang cukup padat setiap hari.
"Kalau kebanyakan remaja dapat menghabiskan masa dengan rakan-rakan untuk bersosial, saya pula melalui kehidupan yang agak berbeza kerana setiap hari perlu berada di lokasi penggambaran dari pukul 12 tengah hari hingga 12 tengah malam.
"Bagaimanapun, saya mempunyai beberapa orang teman rapat yang memahami kerjaya saya ini. Biasanya kami akan pergi bersarapan bersama atau mereka akan berjumpa saya di lokasi penggambaran," jelasnya yang kini sibuk menjalani penggambaran sinetron Surat Kecil Untuk Tuhan.
Memandangkan kebanyakan sinetron yang dilakonkan Nikita kerap menampilkan dirinya membawakan watak-watak seorang gadis yang baik, dia turut ditanya sama ada pernah mendapat tawaran untuk membawakan watak antagonis.
"Secara jujurnya saya memang mempunyai keinginan untuk menjadi seorang antagonis dalam sesebuah sinetron, tetapi saya risau sekiranya peminat tidak suka dengan watak yang saya bawakan itu nanti," ujarnya.
Dikenali ramai sebagai seorang pelakon sinetron yang cukup popular, Nikita juga turut berkecimpung dalam bidang nyanyian sejak berusia 16 tahun dan telah menghasilkan album pertamanya iaitu Lebih Dari Indah.
Ujar Nikita, albumnya itu terpaksa dihasilkan selama dua tahun memandangkan jadual lakonannya yang padat dan telah dilancarkan di Indonesia pada tahun lalu.
"Mengenai album Lebih Dari Indah ini ia mengandungi sebanyak 11 buah lagu. Menariknya, tujuh buah daripadanya merupakan lagu-lagu tema untuk sesebuah sinetron.
"Selepas album saya ini dilancarkan di Indonesia, baru sekarang saya berkesempatan untuk melancarkannya di Malaysia. Selain pelancaran saya turut terlibat dalam rangka promosi di radio dan televisyen," jelasnya.
Antara lagu yang terkandung dalam album tersebut ialah Akibat Pernikahan Dini, Maafkan, Ku Tetap Menanti, Pantas Untukku, Lebih Dari Indah, Bohong, Luka, Cinta Putihmu, Tafakur, Pantas Untukku dan Nonton Bioskop.
Peluk Islam
Apabila ditanya sama ada dia kini mahu bergiat aktif dalam dunia nyanyian pula, Nikita menyatakan lakonan tetap menjadi keutamaan buat dirinya.
"Semasa mula-mula ditawarkan menyanyi dahulu saya mengambil masa yang agak lama untuk membuat keputusan. Kemudian hasil perbincangan dengan ibu, akhirnya saya bersetuju menerimanya.
"Selama ini saya lebih dikenali sebagai seorang pelakon sahaja. Jadi, saya memikirkan tidak salah untuk cuba menerokai bidang baharu dalam kerjaya seni dan tidak sangka ramai yang memberikan sokongan kepada saya untuk menyanyi," ujarnya.
Menurutnya, sebelum ini dia langsung tidak menyangka mempunyai bakat dalam bidang nyanyian dan sebelum memulakan rakaman untuk lagu pertamanya iaitu Ku Tetap Menanti, dia telah menjalani kelas latihan vokal selama sebulan.
Selain bercerita tentang perkembangan kerjaya seninya, Nikita turut ditebak mengenai kisah percintaannya dengan pemain bola sepak kelahiran Belanda, Diego Muhammad Robbie Michiels.
"Walaupun sudah lama menjalinkan hubungan cinta, tetapi kami masih belum merancang untuk berkahwin. Lagipun kami berdua masih lagi muda dan biarlah kami menumpukan kepada kerjaya masing-masing dahulu.
"Sepanjang dua tahun menjalinkan hubungan cinta saya sangat selesa dengan Diego kerana dia merupakan seorang lelaki yang baik dan memahami diri saya sebagai seorang pelakon. Keluarga kami juga merestui hubungan yang terjalin ini," ujarnya.
Menurut Nikita, dia melahirkan rasa gembiranya apabila kekasihnya itu telah membuat keputusan untuk memeluk agama Islam pada Februari lalu.
"Memang ramai yang menyangka dia menukar agamanya semata-mata kerana saya, tetapi saya ingin menegaskan keputusannya itu tidak berkaitan dengan diri saya kerana ia dilakukan atas kerelaan hatinya.
"Dia ada memberitahu kepada saya bahawa keputusannya untuk menukar agama kerana sudah lama tertarik Islam memandangkan dia dibesarkan di kawasan kejiranan Islam semasa di Belanda dan mempunyai ramai rakan-rakan Muslim," jelasnya.
-Kosmo
0 comments:
Post a Comment