Ketiadaan Ziela Jalil bersama Erra Fazira, Rozita Che Wan dan Raja Azura mengendalikan program bual bicara Primadona untuk musim baru membuatkan penonton setia berasa sedikit janggal memandangkan sudah biasa melihat empat selebriti popular ini mengendalikan program yang semakin popular itu.
Ziela sebelum ini menarik perhatian peminat apabila namanya digugurkan secara tiba-tiba tanpa penjelasan tepat hingga timbul dakwaan punca ketiadaannya.
Malah, beberapa nama besar turut disenaraikan sebagai penggantinya. Antaranya Datin Seri Normala Shamsuddin, Dang Suria dan Fazura.
Selepas bersiaran hampir sembilan minggu untuk musim ketiga dan terbaru, tiada ura-ura tempat Ziela digantikan dengan nama itu, sebaliknya Erra, Rozita dan Raja Azura meneruskan program bertiga.
Selepas bersiaran hampir sembilan minggu untuk musim ketiga dan terbaru, tiada ura-ura tempat Ziela digantikan dengan nama itu, sebaliknya Erra, Rozita dan Raja Azura meneruskan program bertiga.
Erra, Rozita dan Raja Azura yang ditemui ketika rakaman khas Istimewa Primadona Bersama Kilauan Emas sempena Aidilfitri baru-baru ini mengakui, perubahan dilakukan membuatkan mereka janggal, malah cabarannya lebih besar, terutama bersiaran secara langsung.
Kata Erra, bersiaran secara langsung sangat berbeza dengan rakaman kerana sewaktu proses rakaman dilaksanakan, isu diketengahkan boleh dikupas seberapa lama yang boleh hinggalah pengacara memperoleh isi menarik yang mahu diketengahkan.
“Apabila bersiaran secara langsung, pengacara harus lebih tangkas. Isu dibincangkan harus menjurus kepada topik kerana kita bertarung dengan masa. Disebabkan itu juga, kalau boleh, kami cuba membawa ahli panel supaya menjurus terus kepada topik.
“Saya faham timbul kritikan mengatakan pengacara Primadona suka memotong cakap ahli panel, tetapi ia harus dilakukan bagi memastikan masa diberikan cukup untuk kita mengetengahkan topik.
“Kalau ada ahli panel lari sedikit, kami harus tarik mereka kembali atau memotong pandangan yang dirasakan tidak penting. Saya hanya menerima arahan penerbit dan saya juga tahu produksi mahu memastikan program tamat mengikut masa dan pengisiannya padat,” katanya.
Apabila bersiaran secara langsung, Erra akui mereka berdepan risiko membabitkan kenyataan sensitif. Disebabkan itu, mereka harus pantas berfikir.
“Secara peribadi, saya bersyukur kerana ada Raja Azura sebagai tunjang. Antara kami bertiga, dia lebih banyak pengalaman dan juga pengacara disegani. Saya banyak belajar daripadanya.
“Saya juga akui pada peringkat awal bersiaran, memang sangat terasa kehilangan Ziela. Semua orang merasakan perkara itu hingga rasa rancangan itu tidak sempurna.
“Namun itu yang dikatakan hidup, bertemu dan berpisah adat manusia biasa. Suka atau tidak, kena terima. Mana tahu, satu hari nanti saya juga akan berubah dan tidak lagi mengendalikan Primadona pada masa akan datang.
“Jadi apabila perubahan berlaku, saya kena sesuaikan diri kerana bukan kita yang buat keputusan,” katanya yang mengakui dapat membiasakan diri.
Rozita pula berasakan suasana kurang meriah kerana kini tinggal bertiga mengendalikan Primadona. Apatah lagi hubungan mereka sangat rapat selepas dua musim bersama.
“Saya menganggap Ziela seperti kakak kami semua. Tidak dinafikan, ketiadaannya membuatkan saya sedih kerana dari awal lagi kami mengendalikan rancangan ini berempat.
“Begitupun, perubahan harus diterima kerana ia akan sentiasa dilakukan bagi memastikan rancangan dikendalikan terus relevan.
“Pertukaran pengacara dianggap perkara biasa dan mungkin pada musim akan datang, akan ada lagi pengacara sedia ada digugurkan,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Prima, Namanzee Harris berkata, setakat ini pihaknya tidak merancang menggantikan tempat Ziela walaupun mengakui sebelum ini pihaknya menghubungi beberapa orang yang difikirkan sesuai bagi mengambil tempatnya.
Katanya, setakat ini tiada maklum balas diberi, membuatkan produksi mengambil keputusan mengekalkan mereka bertiga.
“Keputusan menggugurkan Ziela dibuat selepas menerima maklum balas daripada penonton yang mengatakan empat pengacara untuk mengendalikan Primadona terlalu ramai.
“Waktu sama, kami melihat Ziela lebih sesuai mengendalikan program lain dan ada perancangan untuknya mengendalikan satu rancangan bual bicara waktu pagi.
“Ia menampilkan konsep kerohanian dan kekeluargaan. Pada kami, dengan penampilan dan minat tunjukkan, dia sesuai mengendalikan rancangan itu.
“Rancangan yang dirancang untuk tayangan Syawal itu turut menampilkan dua lagi tokoh dalam bidang keagamaan dan motivasi iaitu Imam Muda Ashraf dan Datuk Fazley Yaacob bersama Ziela. Kami akan menghasilkan episod pertama dan percubaan terlebih dulu,” katanya.
Mengenai keputusan menggugurkan Ziela, jelas Namanzee, pihaknya melihat apabila Ziela tampil bersama tiga lagi pengacara Primadona, dia tenggelam dan kurang menonjol.
Itu juga maklum balas yang diterima daripada penonton, menyebabkan mereka harus membuat perubahan untuk musim baru.
“Setakat ini penerimaan penonton baik. Selepas beberapa episod, penonton tidak memberi komen negatif, menyebabkan kami membuat keputusan supaya Primadona diteruskan dengan tiga pengacara. Penambahan mungkin boleh dilakukan pada musim akan datang,” katanya.
Hikmah di sebalik pengguguran
Saat diberitakan namanya bakal digugurkan sebagai pengacara Primadona, pelakon yang kini bergelar penerbit, Ziela Jalil, 45, tidak menafikan sangat sedih dan kecewa.
Tambah pula berita penggugurannya hanya diketahui daripada orang keliling dan bukan pihak produksi. Lebih menyedihkan, saat perkara itu menjadi isu, dia didakwa menghebahkan pengguguran namanya kepada media.
Ditemui sewaktu majlis pelancaran produk kecantikan miliknya, Fizcol and Berry Slim, baru-baru ini, Ziela menjelaskan, tidak mungkin dia menghebahkan isu yang boleh memburukkan namanya.
“Pengguguran nama saya daripada terus mengendalikan Primadona akan memberi implikasi dari sudut kredibiliti saya sebagai pengacara. Ia memalukan, apatah lagi tiada hitam putih mengenainya dan saya tidak tahu punca digugurkan,” katanya.
Ziela akui, jika keputusan itu dibuat sebelum perkara itu menjadi heboh, dia lebih bersedia, terutama membabitkan sebab mengapa namanya digugurkan.
“Apabila tidak lagi disenarai untuk mengendalikan program itu, tentu saya sedih kerana mengacarakan Primadona sangat menyeronokkan. Setiap hari kami melakukan aktiviti seperti satu keluarga.
“Apabila tidak mengendalikan Primadona, saya sangat sunyi. Bukan senang hendak bertemu sesama rakan artis. Bila dapat bekerjasama, baru kami boleh bertemu. Perkara itu yang membuatkan saya sangat sedih,” katanya.
Apa pun, kata Ziela, segala-galanya ada hikmah. Selepas perkara itu heboh diperkatakan, pengurusan Astro Prima memanggilnya dan menjelaskan mengapa mereka membuat keputusan itu.
“Selepas mendengar penjelasan, akhirnya saya akur. Mereka mengatakan sepanjang mengendalikan Primadona bersama Erra, Rozita dan Raja Azura, mereka nampak saya seperti tenggelam. Kata mereka, perkara itu tidak bagus untuk saya.
“Penjelasan itu membuatkan saya lega kerana sekarang saya tahu sebabnya. Lebih daripada itu, saya bersyukur kerana Astro nampak bakat yang ada pada saya sebagai pengacara.
“Yang menggembirakan, mereka memilih saya untuk mengendalikan program bual bicara baru yang lebih sesuai dengan status dan diri saya.
“Memandangkan saya seorang ibu dan gemar perkara yang dekat dengan soal kerohanian, mereka bercadang menghasilkan program 3 Rasa,” katanya.
Ziela akui sukakan konsep program yang dirancang dan buat permulaan, mereka akan menghasilkan episod pengenalan. Jika mendapat sambutan, ia akan diteruskan.
“Bagi saya, Primadona memberi pengalaman baru kepada saya untuk mencuba bidang baru (mengacara) dan menjadi medan untuk saya mengasah bakat. Selepas diperjelaskan, baru saya faham perancangan yang mereka buat.
“Mengacara nampak mudah tetapi sebenarnya ia memerlukan seseorang itu lebih memahami topik yang mahu ditampilkan. Tugas pengacara bukan saja mengacara, tetapi lebih daripada itu.
“Banyak perkara perlu dilaksanakan seperti mengkaji topik dan kena selalu ada perbincangan untuk memperbaiki kelemahan.
“Sebelum ini waktu mengendalikan Primadona bersama mereka bertiga, saya sering mengambil mudah perkara ini. Ia sebenarnya memberi kesan terhadap corak persembahan saya.
“Kelemahan seperti itu selalunya lebih terkesan kepada penonton. Apabila dimaklumkan perkara itu, baru saya sedar mengenainya. Selepas tahu kelemahan saya, banyak yang perlu diperbaiki.
“Saya anggap ini sebagai proses untuk menjadi lebih baik dan berharap peluang diberi untuk 3 Rasa memberi perspektif berbeza untuk saya dan juga penonton 3 Rasa nanti,” katanya.
-Hmetro
Pandangan peribadi yang akan dianggap kolot.... Cuma Ziela Jalil yang bertudung dalam mereka berempat.... Jadi tak sesuai kot.... Dunia sekarang kan kalau islamik sikit akan ditolak....
ReplyDeletePandangan peribadi yang akan dianggap kolot.... Cuma Ziela Jalil yang bertudung dalam mereka berempat.... Jadi tak sesuai kot.... Dunia sekarang kan kalau islamik sikit akan ditolak....
ReplyDeletePandangan peribadi yang akan dianggap kolot.... Cuma Ziela Jalil yang bertudung dalam mereka berempat.... Jadi tak sesuai kot.... Dunia sekarang kan kalau islamik sikit akan ditolak....
ReplyDeletePandangan peribadi yang akan dianggap kolot.... Cuma Ziela Jalil yang bertudung dalam mereka berempat.... Jadi tak sesuai kot.... Dunia sekarang kan kalau islamik sikit akan ditolak....
ReplyDelete