GEORGE TOWN 9 Julai - Polis menahan tiga lelaki dipercayai terlibat dalam kes bunuh seorang wanita yang ditemui mati di dusun durian berhampiran Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) White Resort, Bukit Genting, Balik Pulau semalam.
-Utusan
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, suspek berusia antara 45 dan 56 tahun itu ditahan berasingan di sekitar George Town dan Jalan Patani pada pukul 10.30 malam tadi.
"Seorang daripada suspek yang ditahan adalah teman lelaki mangsa. Polis percaya kes pembunuhan bermotif cemburu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Semalam, dua pengutip durian menemui mayat wanita tanpa dokumen pengenalan diri dalam keadaan tersangkut pada pagar sempadan kem PLKN berkenaan pada pukul 8.30 pagi.
Mazlan berkata, siasatan lanjut mendapati wanita warga China yang dikenali dengan nama Jun Xing, 37, adalah seorang pekerja sebuah pusat kecantikan di bandar raya ini dan tinggal di Pulau Pinang selama lima tahun.
"Wanita itu dikatakan keluar dari rumahnya pada pukul 6.30 petang, Ahad lepas dan tidak balik ke rumah selepas itu. Mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak ke kawasan dusun itu," katanya.
Beliau berkata, seorang lagi suspek yang ditahan adalah pemilik pusat kecantikan tempat mangsa bekerja.
Katanya, keputusan bedah siasat menunjukkan wanita itu ditikam sebanyak 17 kali di bahagian belakang badan dan lehernya turut dikelar sepanjang 10 sentimeter menggunakan objek tajam bagaimanapun tiada unsur kekerasan seksual ditemui.
Beliau berkata, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
-Utusan
0 comments:
Post a Comment