KUALA LUMPUR 9 Julai - Penyampai radio yang mengendalikan rancangan Suria Cinta di Suria FM, DJ Lin merasakan seperti ajalnya sudah hampir tiba pagi tadi, setelah terlibat dalam satu kemalangan kecil sewaktu dalam perjalanan untuk menghadiri satu sesi fotografi.
Kemalangan yang berlaku di Jalan Parlimen di sini kira-kira pukul 11.45 pagi tadi menyaksikan kereta Proton Persona miliknya mengalami kerosakan teruk apabila sisi kiri kereta tersebut bertembung dengan sebatang pokok.
"Sejujurnya saya merasakan seperti bakal kehilangan nyawa sewaktu kenderaan itu berpusing sebelum menghentam sepohon pokok di tepi jalan.
"Tetapi mujurlah bahagian sebelah kiri yang bertembung dan bukannya bahagian kanan iaitu sebelah pemandu," katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.
Sebelum kemalangan tersebut berlaku, penyampai radio yang baru-baru ini melancarkan single sulungnya iaitu Ranting Kenangan itu, baru sahaja selesai menghantar barang-barang ke lokasi perniagaannya di Busana Mall, Medan Mara di sini.
Tambah DJ Lin lagi, mujurlah hanya kenderaannya sahaja yang mengalami kerosakan teruk iaitu sisi kiri kenderaannya remuk, cermin depan dan kiri pecah selain tayar belakangnya turut pecah.
"Saya bernasib baik hanya mengalami kecederaan ringan sahaja iaitu sedikit kesakitan di bahagian pinggang, selain daripada itu saya tidak menerima kecederaan lain," jelasnya.
-Utusan
0 comments:
Post a Comment