TANGGAL 7 Julai 2013 genap setahun usia perkahwinan Ratu Rock, Ella atau nama sebenarnya Norzila Aminuddin, 47, bersama suami, Azhar Husaini Ghazali, 32.
Gembira dengan kehidupan baharunya, Ella, memberitahu, selepas berkahwin dia sengaja memperlahankan kerjaya seninya selama setengah tahun untuk menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga.
Ujar Ella yang ditemui bersama suaminya pada majlis berbuka puasa bersama anak yatim anjuran Hotel Royal Bintang, Damansara, Selangor baru-baru ini, dia banyak bercuti di luar negara termasuk menunaikan umrah sebelum jadual kerjanya kembali padat selepas Aidilfitri nanti.
"Saya sengaja berehat panjang selepas berkahwin. Sebabnya sebelum ini, saya terlalu sibuk dengan kerjaya. Saya bersama suami, kakak, ibu dan ibu mertua sempat menunaikan umrah selama dua minggu pada Mac lalu.
"Tidak terkata apabila melihat Kaabah di depan mata, rasa sejuk dan tenang sekali. Saya banyak berdoa di sana untuk rakan-rakan dan keluarga, tidak ketinggalan doa untuk mendapatkan cahaya mata," jelasnya.
Sambungnya lagi, selepas menunaikan umrah mereka melawat beberapa kota Arab termasuk Jordan dan Palestin.
Melihat sendiri keadaan di Palestin buat kali pertama memberi keinsafan dalam diri Ella dan dia bersyukur kehidupannya lebih baik berbanding dengan masyarakat di sana.
"Sebenarnya saya mendapat banyak ilmu yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit ketika berada di Palestin.
"Walaupun saya tidak masuk ke Genting Gaza kerana berbahaya memandangkan saya turut membawa ibu, tetapi saya dapat merasai kesengsaraan mereka.
"Saya banyak menderma di sana kerana lebih baik derma itu diberi terus kepada mereka. Jika kita beri kepada mereka menerusi bank, kebanyakan bank di sana dikuasai oleh Israel, jadi kita tidak tahu derma kita itu benar-benar sampai ke tangan mereka ataupun tidak," katanya yang melawat Palestin sekitar Mei lalu.
Selain itu, Ella turut bercerita bagaimana kuatnya semangat rakyat Palestin yang ditemuinya.
"Saya kagum dengan seorang gadis Palestin bernama Israh. Orangnya sangat cantik, umurnya 14 tahun dan merupakan pemandu pelancong kami sepanjang berada di Palestin.
"Walaupun dia masih muda tetapi semangatnya cukup kuat. Katanya, jika ditakdirkan dia mati, dia mahu mati di bumi Palestin. Mungkin remaja seusianya di
Malaysia tidak akan berfikir sebegitu.
"Jadi, saya rasa sangat baik kalau pelajar Malaysia dapat melawat Palestin supaya mereka sedar betapa bertuahnya mereka," balas Ella serius.
Meskipun bimbang dengan keselamatan, Ella menegaskan jika dia diberi peluang lagi, dia benar-benar teringin melawat Palestin buat kali kedua.
"Banyak yang saya dapat belajar daripada orang di sana, kalau ada peluang lagi, saya ingin masuk ke Genting Gaza.
"Takut memanglah takut kerana askar Israel berada di mana-mana sahaja tetapi jika pergi dengan niat yang ikhlas, tidak ada apa yang perlu ditakutkan," katanya.
Tauke biskut
Bercerita tentang Ramadan dan Aidilfitri tahun ini, Ella tersenyum. Katanya, Ramadan kali ini sedikit berbeza kerana tugas hariannya bertambah padat selepas bergelar isteri.
Hanya dapat berbuka puasa bersama suami pada Ramadan kedua kerana tugas Azhar sebagai juruterbang membataskan waktu mereka bersama.
"Sudah berkahwin pastinya cara dan sistem kehidupan saya berubah sama sekali. Apa yang saya lakukan harus dahulukan suami. Mula-mula susah juga kerana suami saya seorang yang cerewet apabila tiba bab makan.
"Saya tidak tahu apa yang dia ingin makan. Makanan yang saya suka dia pula tidak suka. Sebelum ini saya merajuk jugalah tetapi selepas berfikir panjang, apa yang suami lakukan ada benarnya kerana dia seorang yang mengamalkan diet sihat. Secara tidak langsung, saya pun terikut-ikut dengan gaya makan dia," tutur Ella.
Disebabkan itu, Ella terfikir idea untuk mengeluarkan biskut diet di bawah jenamanya sendiri iaitu Ella Cookies. Tidak terfikir idea secara suka-suka itu membawa bisnes tambahan untuknya.
"Ini kali pertama saya berniaga pada bulan Ramadan. Biskut berasaskan oat di bawah jenama saya terdapat empat perasa iaitu, kismis, kurma, kelapa dan kacang almond.
"Semuanya biskut yang sihat bukannya biskut raya yang biasa. Sasaran saya untuk terus memasarkan biskut tersebut walaupun bukan musim raya kerana ia sesuai dimakan pada bila-bila masa," kata Ella.
Ujar Ella lagi, menariknya tahun ini sambutan Aidilfitri sedikit berbeza dan menimbul debaran buat dirinya. Ini kerana buat kali pertama dia akan beraya di rumah keluarga suaminya di Muar, Johor terlebih dahulu.
"Kami sudah berbincang dan suami tanya saya terlebih dahulu sebelum buat keputusan untuk menyambut raya pertama di kampung halamannya.
"Memanglah seronok tetapi dalam hati berdebar-debar juga kerana tidak pernah beraya jauh daripada keluarga di Klang, Selangor.
"Apa yang pasti adat dan cara masakan mereka pasti berbeza, jadi saya siap sedia belajar apa yang patut," ujarnya dalam tawa.
-Kosmo
0 comments:
Post a Comment