Adakah kita sedar betapa besarnya pengaruh kawan dalam hidup kita? Pengaruh ini sangat besar, jika tidak berhati-hati dan kukuh jati diri, tidak mustahil kita boleh terikut-ikut budaya yang dibawa oleh kawan. Inilah sebabnya bekas penagih yang tamat latihan di pusat Serenti kembali mengambil dadah apabila tidak mampu menepis godaan kawan lama.
Berapa ramai anak remaja kita yang terjerumus ke kancah gejala sosial sehingga ada ponteng sekolah, terlanjur mengandung anak luar nikah, terbabit dalam pelbagai kes jenayah baik kecil mahupun besar dan tidak sedikit lari dari rumah akibat pengaruh seseorang yang dipanggil kawan.
Dalam mencari kawan, kita memang perlu berhati-hati dan menjadi sedikit ‘pemilih’. Memang benar kita tidak sepatutnya ‘pilih bulu’ dalam berkawan, tetapi sebaiknya carilah kawan yang boleh bersama-sama membawa kita kepada kebaikan.
Rasulullah SAW sendiri banyak memberi pesanan berkaitan mencari kawan seperti yang berbunyi: “Sebaik baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya.” (Hadis riwayat al-Hakim).
Rasulullah SAW sendiri banyak memberi pesanan berkaitan mencari kawan seperti yang berbunyi: “Sebaik baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya.” (Hadis riwayat al-Hakim).
Dalam satu riwayat lain, Rasulullah bersabda: “Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya.” (Hadis riwayat Abu Daud).
Hadis yang diriwayatkan al-Bukhari dari pada Abu Musa al-Asy’ari pula bermaksud: “Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk.”
Namun dalam memilih kawan, ada kalanya kita terkeliru untuk mengenal peribadinya. Antara beberapa panduan mengenali jenis kawan ialah:
1. Bijak mengambil kesempatan.
Kawan seperti ini bijak menggunakan kita untuk kepentingannya sama ada membabitkan harta benda, adik-beradik, kelebihan kita ataupun kawan lain yang dianggap boleh memberi manfaat kepadanya. Orang seperti ini biasanya agak berkira jika kita memerlukan bantuannya - baik daripada segi kudrat atau material. Mereka secara halus atau terang-terangan tidak menghormati kita.
Kawan seperti ini memang menyakitkan hati yang membuatkan ramai orang berasa kecewa dan sedih kerana terasa dipergunakan. Namun dalam satu bual bicara, penceramah motivasi Prof Muhaya Mohammad pernah berkata, untuk menenangkan diri, kita perlu ubah persepsi supaya tidak menganggap kawan ini mengambil kesempatan, sebaliknya dia memberi peluang kepada kita membuat kebajikan (pahala). Dengan itu kita tidak akan rasa sakit hati atau dipergunakan.
Apabila ada peluang, cubalah menasihatinya dengan berhemah dan lembut supaya dia tidak terasa. Doakan supaya Allah melembutkan hatinya untuk memperbaiki diri. Sekiranya dia masih tidak berubah, rasanya tidak salah untuk menjarakkan diri daripada kawan begini (bukan terus meninggalkannya) supaya kita tidak terjerat dan terpengaruh dengan tingkah lakunya pula. Atau setidak-tidaknya kita terhindar daripada berasa syak wasangka kepada rakan sebegini.
2. Mementingkan diri sendiri.
Apabila mereka bercakap, sentiasa mengenai ‘aku, aku dan aku’. Mereka juga kurang prihatin dan berminat untuk mengetahui mengenai kawan termasuklah bertanya kesihatan kita. Percakapan mereka biasanya berbaur rasa bangga dan ingin menunjuk-nunjuk. Mungkin ini disebabkan tidak mahu meletakkan diri di tempat orang lain dan beranggapan semua orang akan menerima pendapat atau pandangan mereka.
Kawan sebegini memang sukar dinasihat kerana sentiasa beranggapan mereka betul dan lebih baik. Namun tidak salah untuk kita memberi teguran, mungkin secara bergurau atau tidak langsung dengan mengambil contoh perkara yang berlaku di depan mata.
3. Hanya datang kepada kita apabila menghadapi masalah dan memerlukan bantuan.
Orang begini biasanya akan mencari kita apabila dia dalam keadaan terdesak tetapi sekiranya kita yang memerlukan bantuannya, dia akan menjauhkan diri.
Persahabatan ini bersifat berat sebelah kerana mereka bukan saja berkira dalam hal wang ringgit malah tidak sanggup meluangkan masa dan menemani kita ketika kehadirannya diperlukan. Jika bertengkar, mereka akan menyimpan rasa tidak puas hati dan mungkin menjadikannya sebagai ‘modal’ untuk menjauhi kita.
Jika mahu terus berkawan, kita memang perlu banyak bersabar selain mendoakan dia berubah. Bagaimanapun, rasanya tidak salah jika sesekali kita ‘memulangkan paku buah keras’ kepadanya dengan cara yang lembut supaya dia tidak berdendam.
4. Terlalu mengongkong.
Jika berkawan dengannya, kita tidak boleh bersahabat dengan orang lain terutama yang dianggap ‘tidak sekufu’ atau tidak menepati cita rasanya sedangkan mereka bebas berbuat demikian. Mereka sukar untuk menerima hakikat bahawa kita juga berhak untuk berkawan dengan sesiapa saja. Mereka mahu kita hanya memberi perhatian kepadanya saja.
Persahabatan seperti ini amat memeningkan kepala dan kita akan terdorong untuk menjadi insan yang berpura-pura atau bermuka-muka kerana jika dia tiada, barulah kita berbual dengan orang lain. Kawan seperti ini ada kebarangkalian tinggi untuk meninggalkan kita apabila dia menemui alasan yang kukuh untuk berbuat demikian, walaupun kadang kala puncanya amat kecil dan remeh.
Kawan jenis ini sangat sensitif dan mudah terasa. Jadi kita perlu bijak memilih kata-kata jika mahu memberi teguran kepadanya. Jika sayangkan persahabatan, berterus teranglah dengannya bahawa anda kurang senang dengan sikapnya itu. Ada kemungkinan dia tidak sedar bahawa sikapnya boleh menyebabkan orang yang berkawan dengannya terasa terkongkong dan tidak selesa.
5. Berpura-pura.
Di depan kita, dia tersenyum manis, tetapi apabila berpaling kita menjadi sasaran umpatannya. Perlu berhati-hati dengan kawan seperti ini kerana ia umpama virus yang menyerang secara diam. Kita mungkin boleh bersemuka dengannya untuk meminta penjelasan dan bersedialah, dia mungkin akan tampil dengan seribu satu alasan atau cerita baru. Namun ada kemungkinan juga dengan berbuat demikian memberi kesedaran kepadanya untuk berubah. Apa pun berdoalah kepada Allah supaya kita sama-sama diberikan hidayah.
6. Kaki sibuk.
Mereka sibuk mahu tahu harta benda yang kita ada dan mungkin mengupah orang lain untuk menyiasatnya. Ia dilakukan kerana cemburu atau mahu mendekati kawan-kawan anda yang lain. Mereka bukannya benar-benar berminat atau ikhlas untuk berkawan dengan kita. Jadi kena berhati-hati dengan kawan yang ‘busy body’ kerana dikhuatiri akan mendatangkan keburukan di kemudian hari.
7. Tidak mempedulikan kita terutama jika berada di tengah kelompok kawannya.
Dia boleh bergaul dengan kawan kita tetapi apabila bersama rakan yang dianggap lebih berprestij atau seangkatan dengannya, kita akan diketepikan.
Berkawan dengan orang begini akan membuatkan kita selalu terasa hati. Jika tidak sanggup menyatakan rasa kecil hati secara terbuka, gunakanlah saluran lain seperti e-mel, pesanan ringkas atau kad supaya kita boleh menyusun perkataan dengan baik. Biasanya pernyataan hati yang diluahkan secara bertulis akan lebih menyentuh perasaan dan ia mungkin boleh membawa kepada perubahan positif seperti diharapkan.
8. Kawan parasit.
Kawan yang suka menipu, bersaing dan meniru. Antara kawan yang suka menipu biasanya bermulut manis, bijak berkata-kata sehingga kita boleh terpedaya dengan kata-katanya. Mereka juga suka bersaing walaupun dalam hal yang kecil dan remeh. Memang dalam sesetengah keadaan persaingan itu baik khususnya jika ia membabitkan perkara positif dan bermanfaat seperti menuntut ilmu, membuat kerja kebajikan dan memperbaiki mutu pekerjaan.
9. Tidak menepati janji.
Kawan begini amat sukar untuk diharapkan kerana mereka ada kebarangkalian tinggi untuk membatalkan janji pada saat akhir. Mereka akan memberikan seribu satu alasan untuk membatalkan atau memungkiri janjinya. Kawan begini memang boleh membuatkan kita berasa sakit hati.
Jika mampu, tegurlah secara bersemuka akan perbuatannya itu yang boleh menyusahkan orang lain. Sekiranya dia sukar menerima teguran, doakan dia diberikan hidayah untuk berubah.
10. Kaki gosip.
Jika kita berkawan dengan orang yang suka bergosip (mengumpat), tekadkan dalam hati untuk menegur perbuatannya. Mengumpat hanya akan mencetuskan salah faham terhadap seseorang. Mengumpat adalah racun dalam persahabatan, berdosa besar dan tanpa disedari ia akan memberikan aura negatif kepada fikiran dan perasaan kita.
Sekiranya rakan kita itu mempunyai keegoan yang tinggi dan berhari-hari bermasam muka selepas ditegur atau bertindak memutuskan persahabatan yang sudah terjalin sekian lama, ini bermakna sudah sampai masa untuk mencari kawan baru. Apapun sentiasalah mendoakan kebaikannya dan jangan berkira menghadiahkan senyuman setiap kali berselisih dengannya. Moga-moga dengan keberkatan Ramadan yang mulia ini, kita sama-sama mendapat kasih sayang Allah dan berubah menjadi insan yang lebih baik.
-Hmetro
0 comments:
Post a Comment