KUALA LUMPUR: Penyanyi Shila Amzah akhirnya menyerahkan soal jodoh dengan mana-mana lelaki pilihan kepada keluarga tanpa perlu untuk dia mempunyai hubungan cinta terlebih dahulu.
Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah, 23, berkata, dia telah meminta ibunya, Fauziah Sarman untuk memilih mana-mana lelaki pilihan keluarga sekiranya ada yang sesuai untuk dijadikan suami.
"Memang saya meminta ibu carikan jodoh jika ada yang sesuai kerana pilihan mereka pastinya adalah yang terbaik.
"Bagaimanapun, andai kata saya bertemu dengan lelaki pilihan sendiri, saya akan pastikan dia seorang yang menghormati keluarga dan mampu membimbing saya ke arah kebaikan," katanya.
Shila ditemui pada majlis pra dengar album terbaharunya berjudul Shila Amzah, di Red Box, Pavillion, di sini, Jumaat.
Ia merupakan album pertama terbitan syarikatnya sendiri iaitu Shila Amzah Entertainment Berhad (SAEB).
Tambah Shila bagaimanapun buat masa ini di mahu fokus kepada kerjayanya kerana masih lagi serik untuk menjalinkan hubungan cinta dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, Shila berkata, selepas kejadian kontroversi cintanya dengan pelakon Sharnaaz Ahmad yang dilalui beberapa bulan lalu, dia kini lantang bersuara dan mengambil sikap lebih terbuka dalam melemparkan pandangan.
"Dahulu saya selalu berhati-hati dalam setiap kenyataan yang diberi mahupun kelakuan. Tapi saya dah penat sebab orang tetap kritik saya.
"Walaupun memohon maaf atas sesuatu kejadian, saya tetap dilemparkan dengan pandangan buruk dan akhir sekali saya yang sakit hati.
"Jadi lebih baik saya bersikap pentingkan diri dan lebih tegas jika ada yang cuba melemparkan tuduhan yang tidak berasas kepada saya," ujarnya.
Sementara itu, album terbaharunya memuatkan sebanyak lima buah lagu iaitu Sedar, Masih Aku Cinta, Cinta Hati, Tulus dan Maaf ciptaan sepenuhnya oleh Shila sendiri.
Menarik tentang lima lagu tersebut, ia mengisahkan pengalaman cinta yang pernah dilaluinya sebelum ini."Saya juga lebih terbuka dalam meluahkan isi hati saya kepada umum dengan cara menghasilkan lagi.
"Saya percaya lagu-lagu ini akan menjadi kenangan dan pengalaman hidup buat saya selama-lamanya dan juga buat orang yang mempunyai kisah yang lebih kurang sama dengan saya," katanya.
Selain Fauziah, turut hadir pada majlis pra dengar tersebut ialah ayah Shila iaitu ND Lala dan rakan kongsi syarikat berkenaan Ong Peng Chu.
-mStar
0 comments:
Post a Comment