PENANTIAN lebih 12 tahun penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza untuk kembali menjejakkan kaki di dewan berprestij, Dewan Filharmonik Petronas (DFP) akhirnya menjadi realiti menerusi konsert Siti Nurhaliza in Symphony hujung minggu lalu.
Pada tahun 2001, Siti pernah membuat kemunculan khas bersama penyanyi legenda Tan Sri SM Salim di pentas yang sama.
Namun ketika itu Siti hanya berkesempatan mengalunkan dua buah lagu duet bersama SM Salim iaitu Pandang Pandang Jeling Jeling dan Mohon Kasih.
Malah, mengambil secebis kata-kata penyanyi pujaannya itu, Siti mengakui menyanyi dengan orkestra bukan tugas mudah.
“Siti masih teringat pesanan Tan Sri SM Salim. Katanya: ‘Menyanyi dengan orkestra susah, adakalanya kita kena kejar tempo kadangkala kita terpaksa kejar balik’. Jadi, Siti perlu sentiasa peka dan bersedia,” katanya yang ditemui sebaik selesai membuat persembahan pada malam Jumaat lalu.
Menjayakan konsert bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) antara impian yang didambakan Siti selepas beraksi di Royal Albert Hall, London tujuh tahun lalu.
Mandat yang diberikan kepada penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu sejujurnya berjaya digalas dan pentas dimonopoli cemerlang tanpa sebarang gimik melainkan magis vokal lunak.
Telus kata Siti, dia sedikit gugup namun teruja untuk menghiburkan peminatnya. Ujarnya: “Alhamdulillah, konsert berjalan dengan baik namun masih ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki.”
Repertoir
Siti membuka tirai persembahan dengan lagu yang telah mengangkat namanya di persada seni, Kau Kekasihku. Sambil bercanda bersama penonton, Siti meneruskan langkah dengan irama Malaysia yang diberi sentuhan baharu, Badarsila.
Menyusuri rentak mengulit kalbu, Siti menghadiahkan aneka lagu balada popularnya iaitu Jerat Percintaan, Bukan Cinta Biasa, Diari Hatimu dan Percayalah.
Selain itu, penonton turut dihiburkan dengan rangkaian lagu popularnya yang lain seperti Di Taman Teman, Biarlah Rahsia, Seindah Biasa, Lebih Indah dan paling mengasyikkan, gubahan mantap konduktor Kevin Field untuk lagu Purnama Merindu yang pernah melonjakkan nama Siti di Kazakhstan dan China.
Segmen tribut kepada legenda Allahyarham P. Ramlee diselitkan Siti menerusi rantaian lagu Malam Bulan Dipagar Bintang dan Tiada Kata Secantik Bahasa serta lagu Terasing buat bintang yang berkongsi tempat kelahirannya iaitu Allayarham Sudirman Haji Arshad.
Selain dua bintang pujaannya, Siti memilih untuk menyanyikan lagu yang pernah dipopularkan oleh Alleycats dan Jamal Abdillah berjudul Senandung Semalam.
Mungkin ada yang terkilan apabila kebanyakan lagu yang menjadi igauan tidak dinyanyikan penyanyi itu.
Kata Siti, dia telah menyenaraikan hampir 30 buah lagu pada mulanya sebelum dipilih mengikut kesesuaian susunan.
“Bukan tak nak nyanyikan lagu-lagu lain atau lagu bahasa Inggeris Siti tetapi selepas perbincangan dengan konduktor dan penyusun muzik, 21 buah lagu sahaja yang terpilih,” tambahnya.
Main darbuka
Bersambung selepas rehat, Siti yang mengenakan busana Khoon Hooi pada malam pertama turut memperlihatkan bakatnya bermain instrumen Asia Barat iaitu darbuka menerusi lagu Cindai.
Menghadiahkan peminatnya dengan lagu-lagu tradisional, Siti beraksi lincah bersama rangkaian lagu Ku Mahu, Balqis dan Ya Maulai sebelum menutup tirai persembahannya dengan lagu Muara Hati.
Dua hari tempoh masa yang diperuntukkan oleh Siti untuk membuat persiapan bersama MPO, bagaimanapun lebih sebulan sebenarnya penyanyi itu berlatih menggunakan rakaman cakera padat dan stamina menjelang konsert.
“Walaupun persiapan dibuat awal tetapi ada beberapa lompang yang mengehadkan jadual latihan Siti. Sementelah, menyanyi dengan orkestra perlukan pernafasan panjang terutama lagu-lagu balada.
“Jadi, kebanyakan masa Siti mempersiapkan diri dengan stamina dan menjaga kesihatan. Biasanya suamilah yang menjadi peneman Siti paling setia,” ungkap Siti sambil tertawa kecil.
Usai mengadakan konsert Siti Nurhaliza in Symphony, Siti akan membuat persiapan untuk konsertnya bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) pula di Istana Budaya pada bulan September depan.
-Kosmo
0 comments:
Post a Comment